Harga baharu minyak masak botol diumum seminggu lagi

Rosol meninjau bekalan minyak masak subsidi di melawat kedai D'Mart Felda Bukit Goh pada Khamis.
Rosol meninjau bekalan minyak masak subsidi di melawat kedai D'Mart Felda Bukit Goh pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Harga baharu minyak masak dalam botol lima dan tiga kilogram (kg) dijangka diumumkan oleh kerajaan pada minggu hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, penetapan harga baharu itu dibuat hasil pertemuan membabitkan tiga kementerian yang berlangsung di Putrajaya pada Rabu.

"Dalam masa seminggu lagi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz atau Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan membuat pengumuman mengenai harga baharu minyak masak botol.

"Kita tahu masalah kenaikan (harga) minyak masak timbul beberapa minggu lalu, namun kita yakin pengumuman harga baharu itu nanti memberi kelegaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat kedai D'Mart Felda Bukit Goh pada Khamis.

Pada 10 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai rungutan rakyat berhubung kenaikan harga minyak masak dalam botol yang mencecah sehingga lebih RM30 sebotol 5kg.

Sabtu lalu, Rosol dilaporkan akan perbincangan membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan isu berkenaan.

Ditanya mengenai rayuan ibu bapa yang meminta kerajaan membenarkan kedai buku dan alat tulis beroperasi susulan keputusan Kementerian Pendidikan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 13 Jun lalu, Rosol berkata, perkara itu sedang diberi perhatian pihaknya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rayuan itu akan dikemukakan kepada

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan berharap ia dapat diberikan pertimbangan sewajarnya.

"Kita faham situasi yang dihadapi ibu bapa. Jadi, kita akan panjangkan perkara ini untuk perhatian MKN.

"Kita tahu apabila PdPR diteruskan, maknanya ada keperluan untuk kedai alat tulis, kedai cetak dibuka kerana bukan semua ibu bapa mempunyai pencetak di rumah," katanya.

Mengulas mengenai kekurangan bekalan barangan seperti gula dan sayuran pula, beliau menjelaskan bekalan mencukupi, namun masalah tersebut timbul dipercayai berpunca daripada logistik.

"Macam isu (kekurangan bekalan) gula, saya dimaklumkan ada masalah di kilang apabila pekerja (kilang gula) terpaksa ditutup selepas ada pekerja mereka didapati positif (Covid-19), bukannya kerana (bekalan) gula tidak ada.

"Saya difahamkan perkara ini sudah selesai dan mereka (kilang) memberi jaminan bekalan sudah boleh diedarkan seperti biasa," ujarnya.

Sehubungan itu, Rosol menasihatkan orang ramai supaya terus melaporkan kepada KPDNHEP, jika berlaku kenaikan harga mendadak, bagi memudahkan tugas pemantauan dilakukan.