Kisah lima beranak naik satu motor

Paparan skrin perkongsian Ahmad Hafizi di laman sosial Facebook, miliknya.
Paparan skrin perkongsian Ahmad Hafizi di laman sosial Facebook, miliknya.
A
A
A

BERSYUKUR atau mengeluh? Demikian luahan seorang pengguna di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) apabila terserempak dengan lima beranak berkongsi sebuah motosikal dalam cuaca panas terik di Kemaman, Terengganu.

Pemilik Facebook, Ahmad Hafizi Abdullah, memberitahu, kisah itu berlaku di sebuah stesen minyak di LPT 2 menghala ke Pantai Timur kira-kira jam 1 petang, baru-baru ini.

"Pengalaman ini memang tidak dapat dilupakan. Saya secara kebetulan terserempak dengan mereka yang berhimpit menaiki sebuah motosikal.

"Ketika ditanya, mereka memberitahu dari Felda Neram ke Setiu untuk pulang ke rumah selepas selesai menziarah orang tua menghidapi sakit jantung," katanya.

Membayangkan perjalanan sehala dari Felda Neram ke Setiu sejauh kira-kira 219 kilometer, Ahmad Hafizi kemudian menumpangkan mereka sehingga ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka.

"Saya pelawa anak-anak berusia dua hingga 11 tahun bersama ibunya menaiki kereta tetapi bersetuju, hanya anak nombor dua, tiga serta ibu mereka.

"Anak sulung masih setia menemani bapanya dengan menunggang motosikal," katanya.

Jelasnya, perkongsian itu sekadar peringatan untuk setiap insan agar terus bersyukur sekiranya ditimpa musibah atau mengalami kekurangan dalam kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Netizen, Muhammad Najmi Al-Bakri dalam ruangan komen hantaran itu menulis, "bukan semua orang senang, bukan semua orang ada kemampuan hendak memiliki sebuah kenderaan. ALLAH SWT minta tengok dan belajar, terbaik bro".

Al-Nazirul Mubin pula menulis," bro seorang hati mulia, semoga sentiasa dipermudahkan urusan... respect!".