MB Selangor, Speaker bincang pembukaan Sidang DUN

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengadakan perbincangan bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim pada Khamis berhubung pembukaan Sidang DUN secepat mungkin.

Amirudin berkata, perbincangan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan raja-raja Melayu pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor akan mempersembahkan hasil perbincangan berkenaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi mendapat perkenan baginda untuk pembukaan Sidang DUN.

"Saya percaya titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu agar Dewan Rakyat dan DUN dapat segera bersidang adalah selaras dengan aspirasi rakyat agar usaha menangani Covid-19 dapat dinilai dan dibahas penambahbaikannya, di samping memelihara keluhuran perlembagaan Persekutuan," katanya.

Amirudin berkata, pihaknya amat menyanjung tinggi pendirian Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan keluhuran sistem demokrasi berperlembagaan dalam negara ini.

"Ini supaya proses semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman dapat dilaksanakan secara berterusan.

"Ini juga jelas menunjukkan baginda-baginda Tuanku tidak pernah terpisah daripada realiti serta keluh-kesah rakyat Malaysia seluruhnya," ujarnya.

Artikel Berkaitan: