SKMM atasi capaian internet di Kampung Ranggom

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
A
A
A

KENINGAU - Pelbagai usaha sedang giat diambil bagi memastikan masalah capaian internet dan kesalinghubungan di kawasan Kampung Ranggom di sini, diatasi pada kadar segera.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memberitahu, ketiadaan kemudahan dan capaian internet lemah memberikan masalah kepada Atiqah Nurqistina Jamain, seorang pelajar tingkatan lima di kampung itu dan pelajar lain.

Menurut SKMM, satu pertemuan antara pihaknya dengan penyedia perkhidmatan bersama pelajar berkenaan telah diadakan beberapa hari lalu, bagi memahami masalah serta keperluan pelajar terkesan.

Ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah Atiqah Nurqistina dan mendapati liputan tidak memuaskan.

“Sebagai langkah untuk meringankan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar itu, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat, iaitu Kampung Labak Baru Bingkor.

“Pelajar tersebut boleh membuat pendaftaran untuk menjadi ahli Pusat Internet Komuniti (PIK) selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sewaktu PKP ini, beliau boleh mengguna kemudahan yang sedia ada di PIK tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” menurut kenyataan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Atiqah Nurqistina pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan, berhadapan kesukaran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah kerana masalah capaian internet.

SKMM dalam kenyataan itu menyatakan penyelesaian jangka panjang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah dirancang, dan sebuah menara akan dibina oleh Celcom di Kampung Sungai Apin-Apin yang terletak kira-kira 0.77 kilometer dari Kampung Ranggom.

Artikel Berkaitan:

“Pembinaan menara ini akan dijangka siap pada bulan April 2022, yang boleh menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dan para penduduk sekitar Kampung Ranggom,” menurut kenyataan itu lagi. - Bernama