5,738 kes baharu Covid-19, NS catat lebih 1,000 kes

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Negeri Sembilan menjadi negeri baharu melaporkan kes positif Covid-19 melebihi 1,000 selain Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Negeri Sembilan mencatatkan 1,086 kes, manakala Selangor kekal negeri tertinggi merekodkan kes harian iaitu 1,858 kes.

"Kuala Lumpur (641), Sarawak (559), Johor (449), Sabah (248), Kedah (197), Melaka (184), Kelantan (154).

"Labuan (97), Pulau Pinang (97), Terengganu (77), Pahang (54), Perak (30) dan Putrajaya (tujuh)," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa tiada kes baharu di Perlis.

"Kes positif Covid-19 di seluruh negara hari ini adalah 5,738 dengan jumlah kumulatifnya 678,764 kes," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif adalah 66,079 dengan 909 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 441 pesakit pula memerlukan sokongan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat 60 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan membabitkan 58 rakyat tempatan dan dua warga asing.

"60 kes kematian pada hari ini melibatkan 20 kes di Selangor, Negeri Sembilan (10), Johor (sembilan), Sabah (empat), Labuan (empat), Kuala Lumpur (tiga), Sarawak (dua), Melaka (dua), Kelantan (satu), Perak (satu), Terengganu (satu) dan Pulau Pinang (satu)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, usia kes kematian antara 31 hingga 90 tahun serta rata-rata mempunyai penyakit lain.

"Jumlah kumulatif kes kematian adalah 4,202," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 7,530 kes sembuh direkodkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 608,465 kes.

"Ia bersamaan dengan 0.62 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, terdapat 25 kluster baharu dikenal pasti dengan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja.

"Sebanyak empat kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain turut dikesan," katanya.

Jumlah keseluruhan kluster adalah 2,557 dan 1,762 telah diisytiharkan tamat manakala 795 masih aktif serta merekodkan pertambahan kes.