Ahli perniagaan didakwa terima deposit RM132,900

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana menerima deposit daripada seorang individu berjumlah RM132,900, tanpa suatu lesen yang sah.

Razrul Anwar Rusli, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Herlina Sulaiman.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama Muhammad Faizal Mohd Zazali dan Mohamad Fauzi Mohd Zazali antara Julai 2017 sehingga September 2017 di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), iaitu suatu kesalahan di bawah Seksyen 137 (1) akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah 137(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen 137 (2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan dikehendaki melapor diri di balai polis sebulan sekali, serta menetapkan 25 Ogos 2021 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Ermashawani Rusli. -Bernama

Artikel Berkaitan: