Penolong juruukur didakwa terima rasuah bocor maklumat sebut harga

Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil (tiga dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 bagi membocorkan maklumat sebut harga anggaran tender jabatan, empat tahun lalu. - Foto Bernama
Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil (tiga dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 bagi membocorkan maklumat sebut harga anggaran tender jabatan, empat tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penolong juruukur bahan di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 berhubung pembocoran maklumat sebut harga pihak berkuasa tempatan itu, empat tahun lepas.

Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, Tengku Kamarul didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM5,600 ke dalam akaun simpanannya daripada seorang lelaki, sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu membocorkan maklumat sebut harga anggaran jabatan (MPS) kepada individu berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Kuala Lumpur di Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini masing-masing pada 22 April dan 16 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan menerima wang tunai itu, (RM5,600) ke dalam akaun simpanannya tanpa sebarang balasan daripada individu sama, yang mana dia ketahui ia ada kaitan dengan tugas rasminya di lokasi dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Chris Kooi Wei Kit.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan dia perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga pelupusan kes selain menetapkan 16 Julai untuk sebutan. - Bernama

Artikel Berkaitan: