X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan jangan berdolak-dalik dengan alasan: Tok Mat

Mohamad Hasan
A
A

SHAH ALAM - UMNO menggesa agar kerajaan tidak berdolak-dalik dengan alasan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen dengan segera.

“Saya menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah Yang di-Pertuan Agong diterjemahkan segera. Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.

“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan antidemokrasi tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen dibuat secepat mungkin tidak memperincikan bila ia perlu diadakan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.

“Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.

“Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka. Ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan,” katanya.

Mengulas isu sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula mencadangkan agar memvaksinasikan semua yang terlibat dalam sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

“80 sehingga 100 peratus kakitangan, media dan pegawai diberi dua dos vaksin dalam masa dua minggu. Maka wujud imuniti kelompok di tempat itu.

“Jadi tiga minggu lagi boleh mula sidang. Hendak seribu daya, jika tak hendak maka tiada apa-apa,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Beliau turut memberikan cadangan lain agar sewaktu bersidang di Parlimen dan DUN agar prosedur operasi standard (SOP) dikekal seperti menggunakan penghadang plastik, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut mempersoalkan sekiranya tidak yakin dengan vaksin dan imuniti kelompok, apa faedah vaksinasi.

“Harap tidak berlaku krisis Perlembagaan. Eksekutif perlulah menghormati titah,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!