TNB kumpul hampir RM1.28 juta bantu B40 terkesan Covid-19

Baharin Din
Baharin Din
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mengumpul hampir RM1.28 juta menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) dalam tempoh lapan hari.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, sumbangan itu dikumpulkan demi meringankan beban rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19 di Semenanjung, khususnya B40.

Menurutnya, sejak WTP dilancarkan 9 Jun lalu, lebih 11,000 daripada warga kerja TNB bersetuju membuat sumbangan melalui potongan gaji kepada Tabung WTP dan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan terdekat ini.

“Pengurusan Tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan, Yang Dipertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

“Alhamdulillah, dalam tempoh lebih seminggu kempen tabung ini bermula, warga kerja TNB telah menghulurkan sumbangan melalui penolakan gaji bulanan pada bulan Jun dan Julai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yakin jumlah kutipan akan terus meningkat sehingga kempen menderma menerusi Tabung WTP itu berakhir pada15 Julai ini.

Baharin turut memaklumkan, bagi setiap wang yang didermakan warga kerja TNB kepada tabung berkenaan, syarikat utiliti itu akan menambah jumlah yang sama supaya lebih ramai orang mendapat manfaatnya.

“Saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat bandar yang mencabar, dan oleh itu amat memahami kesusahan masyarakat yang terjejas pendapatan dan mungkin juga kehilangan pekerjaan berikutan kegawatan ekonomi ketika ini.

"Kesedaran ini juga saya percaya dikongsi rakan-rakan saya yang lain di TNB,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengagihan Tabung WTP akan diberikan dalam bentuk wang tunai secara atas talian (online banking) dan secara fizikal kepada penerima, individu dikenalpasti tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Para penerima dikenalpasti berdasarkan senarai golongan B40 melibatkan orang kurang upaya, e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat), Pusat Zakat Negeri dan maklum balas warga kerja TNB.

"Selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini, TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku," katanya.