Tiga pekerja Alam Flora positif Covid-19

Ketiga-tiga pekerja yang bekerja di dalam satu lori itu disahkan positif pada Selasa lalu dan kini sedang menjalani kuarantin. - Gambar hiasan
Ketiga-tiga pekerja yang bekerja di dalam satu lori itu disahkan positif pada Selasa lalu dan kini sedang menjalani kuarantin. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengesahkan tiga pekerja dari Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd telah disahkan positif Covid-19.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, ketiga-tiga pekerja yang bekerja di dalam satu lori itu disahkan positif pada Selasa lalu dan kini sedang menjalani kuarantin.

Menurutnya, pekerja terbabit sudah seminggu tidak datang kerja selepas mengalami demam sebelum disahkan positif.

"Saya difahamkan tiada kontak rapat kerana ketiga-tiga mereka sudah diminta kuarantin lebih awal," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sharudin berkata, pihak Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan supaya pekerja Alam Flora menjalani ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) sebagai langkah pencegahan.

Katanya, seramai 200 pekerja Alam Flora yang bertugas di depoh akan menjalani ujian RTK-Ag pada Khamis secara berperingkat.

"Ketika ini operasi kutipan sampah berjalan seperti biasa.

"Sebarang perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan selepas mendapat nasihat pihak kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya ramai dalam kalangan pekerja terpaksa dikuarantin, pihak Alam Flora akan mendapat khidmat pekerja sokongan untuk operasi kutipan sampah.

Dalam pada itu, Sharudin meminta agar Kerajaan Pahang mempertimbangkan supaya pekerja Alam Flora juga diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin lebih awal.

Jelasnya, ini kerana mereka juga terdedah dengan jangkitan Covid-19 sewaktu bertugas seperti pasukan barisan hadapan lain.

"Kita minta perkara ini diperhalusi kerajaan dengan sebaiknya," ujarnya.