Pemimpin UMNO sambut baik rayuan Hishammuddin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rayuan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar sidang Parlimen tidak dijadikan wacana mencetuskan ketidakstabilan politik sekiranya kembali dibuka, disokong oleh beberapa kepimpinan akar umbi UMNO.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, sebagai seorang bekas ahli Parlimen, beliau bimbang langkah pembukaan semula sidang Parlimen, bukan menjurus kepada sesi perbahasan dan perdebatan sihat tetapi demi kepentingan rakyat.

Jelas beliau, pada saat negara berdepan situasi getir akibat krisis pandemik Covid-19, semua pihak harus bersatu dan mendahului kepentingan rakyat dan negara terutama dalam aspek kesihatan, politik dan ekonomi yang semakin mencengkam.

MD ALWI
MD ALWI

"Saya memahami kebimbangan Hishammuddin bahawa sidang Parlimen bakal menjadi medan ahli politik untuk melaksanakan agenda tersembunyi mereka iaitu memenuhi cita-cita menjadi perdana menteri atau menukar kerajaan.

"Hakikatnya, rakyat kini sudah muak dengan aktiviti politiking yang terlalu berleluasa oleh ahli politik, sama ada daripada blok kerajaan mahu pun pembangkang sehinggakan krisis Covid-19 turut dijadikan batu loncatan untuk memenuhi nafsu mereka.

"Nasihat saya, tiada sesiapa pun akan menang jika kita asyik berpolitik dalam semua hal dan mahu terus berebut kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas pandangan Hishammuddin yang merayu agar desakan politik bagi membolehkan sidang Parlimen dibuka semula, tidak dijadikan sebagai alat pemuas nafsu politik segelintir pemimpin politik.

Artikel Berkaitan:

Dalam hantaran terbaharu di Hishammuddin.com.my, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu turut menyeru agar sidang Parlimen yang dijangka dibuka semula sekitar bulan Ogos dan September hadapan, tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi.

Hishamuddin
Hishamuddin

Tambah Md Alwi, langkah pembukaan semula sidang Parlimen sepatutnya difokuskan kepada perbincangan perihal mempercepatkan urusan vaksinasi kepada rakyat, soal periuk nasi golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 dan cabaran besar kerajaan untuk memulihkan ekonomi.

Jelas beliau, kesemua ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik, wajar bersolidariti memberi ruang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghabiskan tempoh 'masa kecederaan' atau penggal pentadbiran kerajaan sedia ada bagi melaksanakan apa jua exit strategy yang sudah dirancang.

"Tiada pihak yang rugi jika semua bersolidariti menumpukan usaha menyelesaikan krisis terburuk dihadapi negara ketika ini. Kerajaan akan dilihat berfungsi, bahkan pihak pembangkang akan lebih dihormati kerana tidak menangguk di air keruh.

"Tidak dinafikan terdapat kepincangan dalam pentadbiran kerajaan sedia ada dengan timbul persepsi mereka seolah-olah gagal menangani krisis dengan berkesan. Sekarang ini adalah masa untuk bersatu menangani musuh bersama iaitu Covid-19," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berpandangan seruan Hishammuddin jelas mahukan semua ahli politik meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.

MOHD ZAIDI
MOHD ZAIDI

Katanya, rayuan Hishammuddin tidak boleh dilihat sebagai usaha menyelamatkan kerajaan atau 'kluster menteri', sebaliknya perlu ditafsir dalam nilai budi dan pekerti ke arah mengamalkan budaya politik bermaruah.

"Masa untuk berpolitik akan sampai apabila kita telah memenangi perang melawan pendemik ini.

"Pembangunan negara selepas pendemik adalah urusan dan tanggungjawab semua pihak dan pemimpin politik sudah semestinya bertanggungjawab menggariskan strategi keluar daripada era kesusahan rakyat ketika ini melalui pelan dan kerangka idea yang luar biasa.

"Kuasa dan pandangan politik sememangnya tidak boleh diketepikan kerajaan. Cuma pada saat ini, belum sampai masa bagi semua pencinta jawatan tertinggi kerajaan menyingsing lengan untuk membuka gelanggang politik dan beradu sesama sendiri," katanya.