Peniaga 3 isteri tidak mengaku pukul isteri ketiga hingga koma

Tertuduh (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
Tertuduh (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seorang peniaga yang mempunyai tiga isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 38, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isteri yang ketiga, Jahidah Nordin@Sylvester, 43, dengan memukul bahagian kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin pada kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 berikutan keseriusan kes yang menyebabkan isteri tertuduh dilaporkan koma selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun tertuduh merayu jaminannya dikurangkan kerana dia menanggung tiga isteri dan tujuh anak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM7,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 25 Julai bagi sebutan semula kes.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran selain tidak mengganggu mangsa.

Pada 12 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita hamil parah dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Wanita itu yang merupakan seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan dilaporkan berada di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN Suami pukul isteri hamil sehingga koma ditahan