Pengurangan eksport getah tingkatkan harga

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Malaysia berharap pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) untuk mengurangkan eksport getah dari Thailand, Indonesia dan Malaysia akan menaikkan harga global komoditi itu dan membantu jutaan pekebun kecil, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang diadakan hari ini berjaya berikutan negara-negara itu -- pengeluar getah asli utama dunia -- membuat keputusan penting mengenai AETS.

“Kami berharap pelaksanaan AETS akan meningkatkan harga getah asli di peringkat global dan juga pendapatan pekebun kecil di tiga negara yang terjejas disebabkan harga rendah,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat itu, di sini.

Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Grisada Boonrach mempengerusikan mesyuarat tersebut. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Darmin Nasution.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri itu telah diadakan untuk meninjau langkah-langkah bagi menangani harga getah asli yang rendah selain membincangkan isu-isu yang berkaitan dan usaha untuk memastikan asas getah asli yang baik dan seimbang ke arah paras harga yang adil.

Teresa berkata, pelaksanaan AETS akan meringankan beban kerajaan dalam memberikan subsidi kepada pekebun kecil getah.

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu pekebun kecil getah melalui skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk mengurangkan impak daripada tempoh harga rendah.

“Jika kita dapat meningkatkan harga getah asli global, kita dapat menjimatkan lebih banyak wang. Kami gembira melihat Thailand dan Indonesia meneliti perkara ini untuk membantu pekebun kecil getah mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Februari, Lembaga Getah Malaysia mengumumkan IPG telah diaktifkan bagi Januari 2019 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia meliputi bayaran untuk cuplump atau getah sekerap, masing-masing 50 sen sekilogram bagi Semenanjung, 80 sen sekilogram bagi Sabah dan 70 sen sekilogram bagi Sarawak.

IPG diaktifkan pada Januari berikutan harga purata peringkat ladang bagi cuplump bulan tersebut adalah RM2 sekilogram di Semenanjung, RM1.70 sekilogram (Sabah) dan RM1.80 sekilogram (Sarawak). - Bernama