Hishammuddin perlu desak PM patuh titah Agong

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu mendesak Jemaah Kabinet supaya kerajaan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu supaya sesi Persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sekarang bukanlah masa untuk menggunakan taktik melambatkan sidang Parlimen dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu patuh kepada titah Seri Paduka Baginda.

"Semalam (Rabu) Hishammuddin menulis panjang satu artikel yang bertajuk 'Melangkaui Politik dan Pandemik'. Menurut beliau, seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik individu tertentu.

"(Tapi), bagaimana dengan mereka yang menggantung Parlimen tanpa sebab kukuh dan kini terbukti gagal? Apakah itu bukan memuaskan nafsu politik mereka?

"Semoga Hishammuddin desak dalam Jemaah Kabinet supaya Kerajaan PN (Perikatan Nasional) patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu," katanya dalam Facebook rasminya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Jangan ada agenda tersendiri desak Parlimen buka: Hishammuddin

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong dalam blognya berkata, semua pihak perlu menyokong Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri dan bukannya bersikap skeptikal.

Jelasnya, Muhyiddin juga telah menyatakan komitmen untuk Parlimen kembali bersidang di Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara dan ia hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada krisis kesihatan ini.

Hishammuddin turut menyatakan desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi dan dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau menyatakan ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19.