'Demokrasi tidak boleh ditewaskan hanya kerana satu pandemik'

Khaled
Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dan menyokong penuh pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'​ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen diadakan segera.

Beliau menegaskan, negara perlu diuruskan tanpa mengabaikan proses semak dan imbang supaya tidak berada dalam situasi kritikal.

Malah bekas Menteri Besar Johor itu berpendapat, demokrasi tidak boleh ditewaskan hanya kerana satu pandemik.

"Malah demokrasilah yang harus dimanfaatkan untuk memenangi pembasmian wabak ini.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu atas keprihatinan yang ditunjukkan serta keputusan tegas yang dicapai pada hari ini (Rabu)," katanya menerusi ciapan terbaharu dalam Twitter beliau pada Khamis.

Beliau berharap, Perdana Menteri dan seluruh kabinet mengambil serius perkara itu dan menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan secepat mungkin.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu segera bersidang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahmad Fadil lagi, Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Al-Sultan Abdullah diadakan bagi membincangkan usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

ARTIKEL BERKAITAN Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin