X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu Nancy meninggal dunia

Bibi MacPherson
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Ibu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Bibi MacPherson, 90, yang juga pelopor wanita berpolitik di Sarawak meninggal dunia pada jam 10.54 di sini malam Rabu.

Allahyarhamah Bibi menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman Nancy di Kampung Panglima Seman Kuching dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Samariang di sini selepas solat Zohor pada Khamis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Nancy pada Khamis, Bibi sepanjang hidupnya adalah antara wanita yang menyumbang bakti terhadap kebajikan dan hak-hak wanita di Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar.

Allahyarhamah merupakan antara nama besar yang menyumbang kepada tertubuhnya sayap kaum ibu dalam sejarah politik Melayu Sarawak dan sejarah perjuangannya itu telah didokumentasikan di dalam sebuah buku berjudul “The Pioneer: Sarawak Women in Politics” yang dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada 2015.

Bibi merupakan anak sulung kepada John Andrew Macpherson, Residen British di Bahagian Ketiga Sarawak semasa zaman pemerintahan Brooke dan ibunya, Chua Eng Dok, seorang wanita berketurunan Cina-Iban berasal dari Kapit yang merupakan keluarga kepada Tun Datuk Patinggi Jugah anak Barieng, salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak.

Di ketika zaman Jepun memerintah Sarawak, ramai penjawat awam berbangsa Eropah di Sarawak telah diburu dan kemudian mereka dibunuh maka begitulah juga nasib ayah kepada Bibi yang menemui ajalnya di pedang samurai Jepun.

Bibi dan adik lelakinya, Bujang MacPherson, bagaimanapun diselamatkan oleh pengasuh mereka seorang wanita Melayu bernama Rokiah yang telah membesarkan kedua-duanya seperti anak sendiri di Kampung Panglima Seman di sini.

Bertemu jodohnya pada usia 17 tahun dengan seorang guru dari Kampung Santubong, Shukri Mahidi, hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan 11 orang cahaya mata dan Nancy merupakan anak yang ke-10. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!