X

Kindly register in order to view this article
!

Pengajaran daripada Ghabbar dan Mandela

A
A

AHAD lepas, secara kebetulan saya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Ghabbar Is Back yang ditayangkan di TV2. Gabbar is Back menceritakan mengenai Profesor Aditya, lakonan Akshay Kumar yang memerangi rasuah dengan caranya sendiri.

Sebelum ini saya juga pernah menonton lakonan Akshay Kumar dalam filem Toilet (2017) dan Pad Man (2018). Dua-dua filem itu juga sangat menarik kerana ia berkaitan berdasarkan kisah sebenar yang berlaku di India.

Filem Toilet menyokong kempen kerajaan untuk memperbaiki keadaan tandas di India, manakala Pad Man pula mengisahkan seorang lelaki dari Tamil Nadu yang mencipta tuala wanita ‘mampu beli’ dan berjaya membuka mata masyarakat.

Berbalik kepada Ghabbar Is Back, filem yang diterbitkan pada tahun 2015 itu menterjemahkan aspirasi kempen #rasuahbusters yang dicetuskan oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub untuk menghapuskan budaya rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di negara ini.

Menonton filem Ghabbar Is Back memperlihatkan bagaimana sebuah negara boleh musnah akibat perbuatan pegawai-pegawai kerajaan yang sanggup menerima rasuah daripada seorang usahawan kaya-raya bernama Patil.

Bayangkan, jika semua orang boleh dibeli untuk menutup masalah masing-masing.

Watak Gabbar harus dicontohi kerana perjuangannya dalam membanteras rasuah yang unik dan teliti walaupun terpaksa melanggar undang-undang.

Ini kerana Ghabbar tidak yakin keadilan dapat ditegakkan kerana ramai polis terutama di peringkat atasan yang makan rasuah.

Penentangannya terhadap rasuah turut disokong oleh golongan belia yang dalam filem tersebut diwakili oleh penuntut universiti yang menyampah dengan kebobrokan yang berlaku dalam pentadbiran negara itu akibat rasuah.

Ia boleh diaplikasikan di Malaysia di mana semua lapisan masyarakat perlu berganding bahu bagi membanteras gejala rasuah agar imej negara bersih daripada gejala rasuah.

Selepas berjaya membalas dendam terhadap Patil yang menyebabkan kematian isteri dan anaknya, Ghabbar menyerah diri kepada pihak berkuasa dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Tetapi sebelum itu, Gabbar meminta pengikutnya untuk memanfaatkan ‘kekuatan belia’.

Inilah juga manifestasi gerakan dari rakyat demi rakyat seperti mana dilakukan #rasuahbusters untuk menentang najis rasuah bermula daripada akar umbi.

Satu lagi filem yang menarik perhatian saya ialah Mandela. Filem ini memang lain daripada yang lain. Santai dan kelakar.

Dua kali saya menontonnya. Pertama, ketika Badruldin Zakaria mengesyorkan kepada saya dan kedua, ketika menunggu perlawanan antara Belanda menentang Ukraine pada perlawanan Euro 2021.

Filem itu bukan mengenai Presiden Afrika Selatan, pasal Nelson Mandela tetapi seorang tukang gunting rambut yang berkasta rendah di sebuah perkampungan kecil di Soorangani di Tamil Nadu, India. Dia umpama ‘zero to hero’.

Kritikan politik

Membawa tema satira politik, filem berbahasa Tamil yang ditulis dan diarahkan oleh Madonne Ashwin yang menampilkan Yogi Babu sebagai pelakon utama.

Filem berkenaan dibuat berdasarkan senario pemilihan panchayat desa antara dua parti politik yang mana pengundi akan menentukan nasib pilihan raya.

Dengan kapasiti sekitar 1,000 orang, penduduk di kampung berkenaan dibahagikan kepada dua berdasarkan kasta.

Lucunya, mereka bukan sahaja berebut jamban, malah sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan satu undi termasuk memberi bermacam-macam hadiah kepada Mandela yang sebelum ini langsung tidak dipeduli, dicemuh dan dihina.

Yogi Babu membawa watak si tukang gunting malang dengan amat cemerlang. Satu undi juga bukan sahaja mengubah hidup si tukang gunting sepenuhnya, malah mengubah senario kampung kecil tersebut yang selama ini terpinggir.

Apa yang dipaparkan dalam filem Mandela adalah kritikan terhadap politik yang turut berlaku di Malaysia tetapi pengajaran paling penting ialah bila orang dah memberi, jangan pula kita ambil kesempatan seperti Mandela!

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!