Kucing jalanan bertambah ketika PKP

Nur Shazl Yana Iylia Mohd Izarul Nisham,16, memberi makan kepada kucing jalan di kawasan Pantai Batu Hitam, Kuantan pada Rabu.
Nur Shazl Yana Iylia Mohd Izarul Nisham,16, memberi makan kepada kucing jalan di kawasan Pantai Batu Hitam, Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) memerlukan bantuan orang ramai bagi memastikan sebanyak 400 ekor kucing jalanan yang dijaga mereka tidak terabai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh.

Pengerusinya, Jurina Abdul Rani berkata, bantuan itu diperlukan bagi membantu kucing jalanan yang ditempatkan di pusat jagaan milik kelab berkenaan di beberapa daerah ini tidak kelaparan dan mendapat rawatan perubatan sekiranya sakit.

Menurutnya, pihaknya memerlukan lebih RM3,000 sebulan bagi menampung kos menjaga haiwan yang ditinggalkan orang ramai di beberapa kawasan di negeri ini.

"Sumbangan amat diperlukan bagi membeli makanan dan pasir serta perbelanjaan rawatan kucing. Bukan setakat kucing, haiwan lain seperti anjing juga kita bantu.

"Bila ada haiwan yang sakit, kita akan hantar ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan serta menjaganya sehingga pulih," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Jurina berkata, ketika ini terdapat lebih 100 ekor kucing jalanan yang terpaksa diberi perlindungan di pusat jagaan sementara SKJP kerana mengalami masalah kesihatan termasuk kecederaan serius kerana kemalangan.

Sementara itu, katanya, sejak Ramadan lalu, ditambah dengan pelaksanaan PKP 3.0, jumlah kucing dan anjing jalanan bertambah dua ke tiga kali ganda.

Menurutnya, pihaknya percaya haiwan berkenaan telah dibuang oleh orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya merayu kepada pihak yang prihatin supaya dapat memberikan sumbangan kepada kelab berkenaan.

"Sumbangan ini diperlukan dalam usaha menyelamatkan nyawa haiwan ini.

"Kita juga ada menerima sumbangan makanan haiwan. Namun pada setiap minggu kita akan agihkan makanan itu kepada individu tertentu untuk diberikan kepada kucing dan anjing jalanan, " ujarnya.

Tambah Jurina, pihaknya tidak sanggup melihat haiwan berkenaan kurus seterusnya mati kelaparan, selain mengalami kecederaan serius tanpa mendapat sebarang rawatan sepatutnya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 5560-9326-1496 atas nama kelab berkenaan.