Hampir 1,000 ahli Presma gulung tikar

Lebih 1,000 kedai mamak sudah gulung tikar kerana tidak mampu bertahan terutamanya dengan kos sewa premis yang tinggi. Gambar kecil: Jawahar Ali
Lebih 1,000 kedai mamak sudah gulung tikar kerana tidak mampu bertahan terutamanya dengan kos sewa premis yang tinggi. Gambar kecil: Jawahar Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta memperhalusi dan meneliti semula pemberian moratorium bersasar kepada golongan yang benar-benar terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negara ini bermula 1 Jun lalu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ramai ahli persatuan itu begitu terkesan ekoran pelaksanaan PKP 3.0 dan situasi menjadi lebih parah apabila rata-rata mereka tidak mendapat manfaat daripada pemberian moratorium bersasar yang telah dipersetujui kerajaan.

Katanya, inisiatif kerajaan dalam menyediakan beberapa pinjaman kadar rendah secara bersasar kepada sektor perniagaan juga gagal dimanfaatkan oleh pihak ahli Presma apabila dana yang disediakan telah habis diagihkan.

Menurutnya, dalam usaha membantu ahli sekitar 12,500 orang, Presma ada mengadakan kerjasama dengan beberapa institusi kewangan negara namun faedah pinjaman yang mampu diberikan kepada ahli adalah kadar faedah semasa.

"Menerusi inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, hanya sebilangan kecil ahli Presma iaitu bawah daripada lima peratus sahaja yang berjaya mendapat manfaat daripada apa yang telah disediakan oleh kerajaan itu.

"Selebihnya menderita ekoran perniagaan yang semakin merudum ekoran kekurangan pelanggan sepanjang tempoh PKP. Malah hampir 1,000 ahli Presma yang telah terkesan dan terpaksa gulung tikar," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd ini berkata, Presma sangat berharap kerajaan dapat menyediakan moratorium automatik bersasar kepada pemain industri makanan dan minuman (F&B) di negara ini.

Jelasnya, perkara tersebut sangat perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam memastikan pemain industri F&B tidak terkesan, sekali gus pendapatan harian yang tidak seberapa sepanjang tempoh PKP 3.0 ini dapat digunakan untuk membayar sewa dan dijadikan modal pusingan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, situasi para peniaga restoran kini menjadi semakin nazak ekoran kegagalan mendapat pinjaman daripada pihak perbankan apabila berhadapan dengan kekangan dokumen kerana prestasi perniagaan semakin teruk.

"Sekiranya tanpa bantuan daripada kerajaan, kemungkinan 50 peratus daripada peniaga ini akan berhadapan risiko gulung tikar.

"Bagi meneruskan kelangsungan perniagaan, ada peniaga restoran yang telah mengenal pasti rangkaian restoran mana yang perlu ditutup bagi mengelak kerugian lebih besar," katanya sedih.

Selain itu menurutnya, pelaksanakan subsidi sewa secara bersasar kepada pihak hartanah juga dilihat sangat membantu ahli Presma kerana pengecualian pembayaran pembiayaan daripada sektor hartanah kepada pihak perbankan akan membolehkan ahli Presma mendapat faedah.

Ekoran daripada pelaksanaan itu katanya, pihak penyewa bangunan berupaya untuk memberi potongan harga sewa kepada ahli Presma sehingga 50 peratus dan tindakan ini sememangnya sangat melegakan banyak pihak termasuk peniaga restoran.

Sementara itu Jawahar berkata, Presma turut berharap agar pihak terlibat dalam penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengkaji semula cadangan agar tempoh perniagaan dapat dianjakkan bagi membolehkan orang ramai membeli makanan.

Katanya, pihak Presma banyak menerima rungutan daripada pelanggan yang tidak berkesempatan membeli makanan kerana tempoh tutup kedai adalah sekitar 8 malam.

"Kami di Presma sentiasa mematuhi ketetapan menutup premis perniagaan sebelum jam 8 malam, namun ramai pelanggan yang merungut mereka tidak sempat hendak membeli makanan kerana baru pulang dari tempat bekerja.

"Begitu juga dengan waktu operasi perniagaan pada waktu pagi. Ada pelanggan tetap yang menyatakan mereka tidak sempat hendak beli makanan kerana perniagaan restoran hanya akan mula beroperasi pada jam 8 pagi," katanya turut mencadangkan agar operasi perniagaan restoran dianjakkan dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Tambahnya, cadangan melanjutkan tempoh perniagaan dilihat tidak menjadi punca utama kepada peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini.

Jelasnya, bukan sahaja pelanggan tidak boleh makan dan melepak di restoran, pihak peniaga juga mengikuti semua SOP ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak berlaku pertambahan kes atau kluster baharu.

"Terakhirnya saya turut memohon agar semua pemain industri F&B diberi keutamaan untuk menerima vaksin agar terhindar daripada wabak ini. Kami juga barisan hadapan negara yang perlu mendapat perlindungan," katanya mengakhiri perbualan.