Malaysian Tigers tunggu 'lampu hijau' berlatih

Skuad Malaysian Tigers dijadualkan mengharungi saingan Piala Juara-Juara Asia di Dhaka pada Oktober depan. FOTO: FB MHC
Skuad Malaysian Tigers dijadualkan mengharungi saingan Piala Juara-Juara Asia di Dhaka pada Oktober depan. FOTO: FB MHC
A
A
A

SKUAD Malaysian Tigers berharap mendapat 'lampu hijau' untuk menjalani latihan di padang menjelang Piala Juara-Juara Asia 2021 yang dijadualkan berlangsung di Dhaka, Bangladesh dari 1 hingga 9 Oktober depan.

Pengendali skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj berkata, latihan di padang serta gimnasium amat penting dalam usahanya membentuk barisan terbaik bagi menghadapi kejohanan itu yang bakal disertai beberapa pasukan gergasi dunia.

“Ketika ini lebih separuh daripada pemain serta pegawai pasukan kebangsaan telah pun melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 manakala selebihnya telah diberikan temujanji untuk suntikan dos kedua.

“Jadi saya tertanya-tanya bilakah kami dapat mengadakan latihan semula di padang termasuk sesi latihan di gimnasium. Saya akan mendapatkan penerangan lanjut daripada pihak atasan berhubung perkara ini.

“Diharapkan selepas menerima suntikan kedua ini, kami diberikan peluang untuk menjalani latihan kerana jika mengikut tarikh kejohanan, saya hanya ada lebih kurang dua bulan setengah lagi untuk melakukan persiapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, separuh daripada skuad senior lelaki negara termasuk Arul dan penolong jurulatih, Muhammad Amin Rahim telah melengkapkan dos kedua suntikan Vaksin Covid-19 (Pfizer-BioNtech).

Arul berkata, beliau juga mahu mendapatkan penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti skuad Malaysian Tigers setelah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

“Saya juga mahu mendapatkan penerangan, apakah saya perlu menunggu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau lockdown ini yang dijangka tamat pada 28 Jun untuk saya mengadakan latihan.

Artikel Berkaitan:

“Adakah latihan boleh diadakan secepat mungkin kerana 80 peratus pemain telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos kedua. Bagi saya perkara-perkara seperti ini perlu diselesaikan segera supaya kami boleh melakukan persiapan secukupnya untuk menyertai Piala Juara-Juara Asia,” ujarnya.