Kluster akibat sambutan Pesta Kaamatan libat 40 kes

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kluster Kionsom Kecil dikesan di Sabah dipercayai akibat sambutan Pesta Kaamatan pada 31 Mei lepas melibatkan 40 kes kumulatif setakat Rabu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu mula dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Jun lepas dengan kes indeks seorang lelaki berusia 31 tahun bertugas di sebuah syarikat kejuruteraan di Inanam di sini.

"Seramai 86 orang menjalani ujian saringan Covid-19 (dalam kluster ini) menemukan jumlah kumulatif kes positif 40 kes manakala 12 sampel didapati negatif dan 34 sampel masih menunggu keputusan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri berkenaan Covid-19 berkata, sepanjang pandemik itu menular, semua kematian di luar fasiliti hospital adalah dianggap sebagai berkait dengan wabak itu sehingga dibuktikan sebaliknya melalui ujian saringan Covid-19.

"Semua jenazah wajib dibawa ke kamar mayat hospital untuk ujian saringan Covid-19 dan jenazah yang positif akan diurus mengikut garis panduan pengurusan kematian disyaki atau disahkan Covid-19," katanya.

Beliau berkata bagi jenazah yang dikesan negatif Covid-19, pengurusan akan dilakukan mengikut ketentuan agama masing-masing berdasarkan prosedur operasi standard pencegahan pandemik itu.

Dalam pada itu katanya, Sabah mencatat 184 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,730 kes, dan 226 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 63,751 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: