Tiga lelaki ditahan, dadah lebih RM80,000 dirampas

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai lebih RM80,000 dalam tiga serbuan di Kampung Kubang Badak, Ayer Hangat, Langkawi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam serbuan pertama pada kira-kira jam 6 petang di tepi Jalan Datai di kampung itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun serta merampas 83.80 gram dadah disyaki syabu bernilai RM10,894.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Sentra ditahan selepas polis mendapati kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

“Susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan ke atas sebuah premis di kampung sama yang disyaki dijadikan tempat kegiatan pengedaran dadah,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Shariman, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.80 gram bernilai RM150.

Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, polis menyerbu sebuah rumah di kampung itu dan menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 532.20 gram yang dianggarkan bernilai RM69,186.

“Hasil tiga serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha LC dengan nilai keseluruhan sitaan ialah RM23,500,” katanya.

Ketiga-tiga lelaki direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama

Artikel Berkaitan: