Kenderaan hasil pertanian boleh lalu dua SJR Cameron Highlands

Ab Jalil Hassan
Ab Jalil Hassan
A
A
A

KUANTAN - Semua kenderaan pengangkutan barangan terutama yang mengangkut hasil berasaskan pertanian dari luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan melalui dua lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang dibuka di Cameron Highlands.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ab Jalil Hassan berkata, kebenaran hanya diberikan kepada kenderaan pengangkutan yang mempunyai kebenaran beroperasi daripada Kementerian Pengangkutan terutama yang mengangkut hasil pertanian dari kawasan Lojing, Kelantan ke Simpang Pulai, Perak.

Menurutnya, kenderaan mengangkut hasil pertanian dari dua lokasi itu dibenarkan melalui kawasan Kampung Raja yang dikenakan PKPD ketika ini.

"Keputusan itu dibuat berdasarkan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

"Sebelum ini kenderaan dari luar kawasan PKPD tidak dibenarkan menggunakan laluan tersebut berdasarkan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPD Kampung Raja yang dikeluarkan MKN berkuat kuasa pada 14 hingga 27 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ab Jalil berkata, Polis Daerah Cameron Highlands telah menjalankan penugasan berdasarkan SOP ditetapkan antaranya, semua aktiviti pertanian dan rantaiannya tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD.

"SOP itu juga melibatkan larangan pergerakan kenderaan berat, kenderaan pertanian dan pergerakan keluar penduduk serta pergerakan masuk orang luar ke kawasan PKPD,"katanya.

Tambah beliau, orang ramai diminta agar terus mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP PKPD bagi kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

"Pihak polis juga akur dan mematuhi setiap arahan serta SOP baharu dikeluarkan MKN," katanya.