Program Pemulihan Negara tidak berjaya jika banyak syarikat dibenar operasi

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar
A
A
A

GEORGETOWN - Keengganan kerajaan mengeluarkan dana untuk membiayai sara hidup rakyat tidak boleh dijadikan alasan kepada pembukaan industri yang berterusan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, Program Pemulihan Negara tidak mampu berlangsung tanpa pemulihan sosio-ekonomi rakyat menerusi penurunan dana yang mencukupi, pelaksanaan moratorium bank secara automatik dan subsidi gaji.

Menurutnya, Program Pemulihan Negara juga terganggu apabila operasi bagi 128,150 syarikat berdaftar (walau pada awalnya diumum 95,142 syarikat) melibatkan kira-kira 1.57 juta pekerja juga dibenarkan.

"Program Pemulihan Negara tidak mampu berlangsung tanpa pengenalan insurans pekerjaan automatik buat semua rakyat Malaysia yang bekerja, untuk menyelamatkan bukan sahaja segmen B40 tetapi juga M40 yang kini berisiko terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.

"Sehingga semalam, kes (Covid-19) hampir mencecah 5,000 sehari, dengan 639 kluster adalah dari tempat kerja sektor pembuatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, negara juga tidak mampu pulih sekiranya industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak diberi pemanjangan tempoh moratorium automatik seperti yang disarankan pakar ekonomi.

"Sebanyak 37.7 peratus daripada PKS akan gulung tikar buat selama-lamanya sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan. Bukan sahaja PKS terbeban, syarikat bertangga M40 di Permatang Pauh seperti De’ Pauh Cafe juga mengalami kerugian dan kewangan terjejas hampir 90 peratus.

"Selain itu, Restoran Fauzan Kari Kepala Ikan pula terpaksa menutup operasi mereka kerana menanggung hutang yang banyak. Pengumuman perancangan bantuan tunai maksimum RM500 dan geran PKS RM1,500 beserta upah RM600 untuk sebulan tidak memadai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Izzah berkata, jika dibandingkan perkara itu dengan sektor perbankan, ia mencatatkan keuntungan bersih lumayan walaupun pemberian moratorium selama enam bulan dilaksanakan ketika PKP pertama dahulu.

"Antara bank yang mencatatkan keuntungan lumayan adalah Maybank RM2.39 billion, RHB Bank (RM650.39 juta) dan Public Bank Berhad (RM1.529 bilion). Sebagai contoh, laporan kewangan RHB Berhad bagi 2020 menyatakan RM4.15 juta dibayar kepada pengarah urusan mereka, dengan nota kaki bonus tambahan sebanyak RM 1.74 juta pada tahun yang sama.

"Melihat kepada warga pekerja pula, ramai yang sewenang-wenangnya dikenakan pemotongan gaji atau dibuang kerja. Negara hanya mampu pulih sekiranya pekerjanya mampu terus hidup," katanya.

Katanya, cadangan pemberian subsidi gaji sekurang-kurangnya RM1,500 selama tiga bulan dan bukannya RM600 sebulan sebagaimana diumum.

"Kerajaan perlu mengambil kira realiti kadar pengangguran yang kini mencecah 5.1 peratus, sementara pengangguran belia kohort 15 hingga 24 tahun meningkat sehingga 13.7 peratus.

"Diakui, moratorium automatik dan subsidi gaji hanya untuk sementara sahaja. Pada waktu ini, sepatutnya program pemulihan negara menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam mengusulkan Sistem Pangkalan Data Nasional Perlindungan Sosial bagi memperkemaskan program bantuan sosial yang tidak seragam dilaksana dengan serta-merta," katanya.

Beliau berkata, skim gig yang ditawarkan MDEC dan agensi kerajaan hanya mampu mencapai kurang 10 peratus daripada pekerja informal yang sebahagian besarnya merupakan petugas barisan hadapan ekonomi negara.

"Mereka bertarung nyawa tiap hari dalam menjalankan tugas namun tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial untuk melindungi kebajikan mereka dalam situasi cemas.

"Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan sebagai ‘exit strategy’ semalam memperlihatkan rakyat terus dipenjara dengan hukuman yang jauh lebih berat apabila perintah berkurung bakal berterusan sekurang-kurangnya sehingga September tanpa bantuan sosioekonomi yang mencakupi keperluan rakyat," katanya.

Nurul Izzah turut menggesa kerajaan melaksanakan Pelan Induk Perlindungan Sosial Kebangsaan yang telah dibentangkan bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum dan mengagihkan bantuan secara efisien untuk menepati impak yang disasarkan.

"Jangan sampai kita terlalu tertumpu kepada konsolidasi fiskal dan melakukannya terlalu awal. Apa gunanya penarafan hutang negara jika rakyat merana dan ekonomi menjunam?

"Pertimbangkan bantuan sejagat tanpa memilih bulu dan melaksanakan pendaftaran bagi setiap warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan sosial yang amat diperlukan secepat mungkin," katanya.