MOF kesal laporan tidak benar mengenai BSH

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan kesal terhadap laporan media dan dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) bujang, ibu bapa tunggal dan warga emas tidak menerima bantuan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menurut satu kenyataan, Kerajaan Persekutuan kini menumpukan proses pendaftaran dan kemaskini maklumat untuk program BSH yang memberikan bantuan secara bersasar dan mengutamakan keluarga.

"BSH2019 juga memberi kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan. Kadar tambahan BSH2019 sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang anak dan bagi anak OKU yang tidak dihadkan umur.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Mengapa OKU macam saya tak layak'

"Dalam konteks ini, MOF ingin menjelaskan bahawa ibu bapa tunggal dengan tanggungan turut layak dan diberikan BSH pada tahun 2019. Bagi warga emas yang melebihi 60 tahun, mereka juga layak menerima BSH sama ada berstatus berkahwin atau bujang," katanya.

Semalam media melaporkan seorang lelaki OKU, Ishak Awi, 59, terkilan apabila mendapati dia tidak memenuhi kelayakan untuk memohon BSH 2019.

Dia yang berasal dari Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Terengganu yang kudung kedua-dua belah kaki, mendakwa sebelum ini berpeluang menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menjelaskan, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu lebih daripada 140,000 OKU dengan bantuan Elaun Pekerja Cacat atau Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, individu yang dilaporkan telah pun menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk Kategori Bujang sebanyak RM100," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan pada 20 Februari lalu, seramai tiga juta orang dalam kategori bujang akan menerima bayaran BSH sebanyak RM100 pada hujung bulan Mac 2019.

"Kerajaan akan mengkaji kadar bantuan seterusnya bagi golongan tersebut dan keputusan akan dimuktamadkan oleh Kabinet," jelasnya.

Kerajaan juga akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang berkeperluan untuk meringankan beban kos sara hidup mereka berdasarkan kemampuan yang ada sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat.