Guna surat kebenaran rentas negeri majikan bawa dadah

Kereta mewah milik salah seorang ahli kumpulan itu yang turut dirampas dan disita.
Kereta mewah milik salah seorang ahli kumpulan itu yang turut dirampas dan disita.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng Hafiz yang antara lainnya menyalahgunakan surat majikan untuk kebenaran merentas negeri bagi membawa dadah susulan penangkapan 10 individu termasuk ketua kumpulan itu berusia 29 tahun pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kesemua mereka berusia 29 hingga 44 tahun diberkas dalam beberapa serbuan di Sepang Selangor, Kuala Lumpur termasuk sekitar Melaka.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai aktif sejak tahun lalu sebelum ketua mereka dikenali sebagai 'Hafiz' ditahan bersama tiga lagi ahlinya di sebuah rumah di Sepang, Selangor.

"Kelicikan suspek berkenaan yang beberapa kali berpindah rumah sewa bagi mengelakkan aktiviti mereka diketahui pihak berkuasa menyukarkan polis memberkas mereka. Bagaimanapun setakat ini 99 peratus ahli kumpulan itu berjaya diberkas.

"Dengan tertangkapnya ketua kumpulan ini, polis yakin berjaya menyelesaikan beberapa sindiket pengedaran dadah yang aktif di negeri ini.

"Kami tidak menolak suspek bernama Hafiz mendapat bekalan dadah di sekitar Lembah Klang sebelum ahlinya akan membawa bekalan dadah ke negeri ini dan dibayar upah mencecah sehingga RM1,000 bagi satu kilogram dadah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, ahli sindiket turut dikesan menggunakan surat dikeluarkan majikan untuk pergerakan rentas negeri bagi menyeludup masuk dadah ke Melaka.

"Ada yang menyalahgunakan surat majikan untuk membawa barang terlarang itu dan hasil semakan Hafiz mempunyai rekod lampau membabitkan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kesemua mereka positif dadah methamphetamine," katanya.

Kata beliau, beberapa barangan turut disita termasuk sejumlah wang tunai, barangan kemas, motosikal dan juga kereta mewah jenama Honda Jazz dan Volkswagen Golf.

Mereka direman enam hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.