Peminat perlu adil kepada Liridon, de Paula

De Paula (kanan) antara pemain naturalisasi yang dibawa masuk bagi memperkuat Harimau Malaya dalam baki tiga aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai. - FOTO: FB FAM
De Paula (kanan) antara pemain naturalisasi yang dibawa masuk bagi memperkuat Harimau Malaya dalam baki tiga aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai. - FOTO: FB FAM
A
A
A

PEMINAT bola sepak perlu bersikap adil terhadap kedua-dua pemain naturalisasi baharu negara - Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi yang dikatakan tidak berupaya memberi impak kepada pasukan ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata, masa untuk kedua-dua pemain itu mencapai keserasian masih belum mencukupi bersama skuad Harimau Malaya ketika aksi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

“Saya harap mereka dapat menggunakan pengalaman dimiliki untuk lebih memahami serta mengadaptasi corak permainan Harimau Malaya sekiranya dipanggil lagi menyertai skuad negara pada masa depan,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Selain Dde Paula dan Krasniqi, seorang lagi pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh turut dihujani kritikan pedas oleh peminat bola sepak tempatan kerana dikatakan tidak berupaya memberi impak secukupnya serta menambah bisa skuad Harimau Malaya dalam saingan itu.

Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan mengakui pilihan pemain naturalisasi adalah sangat terhad ketika ini, namun memberi jaminan skuad kebangsaan akan mempunyai tambahan empat atau lima pemain naturalisasi yang boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi kebangsaan bagi tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, Yusoff tetap mempertahankan program naturalisasi yang mendapat kritikan hebat sejak akhir-akhir ini kerana objektif FAM adalah untuk memperbaiki prestasi skuad Harimau Malaya.

“Dari segi peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu tidak salah untuk mengambil pemain naturalisasi...kita cuma mencari ruang dengan memberi pilihan kepada jurulatih untuk membantu pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Malaysia layak secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 selepas menewaskan Thailand 1-0 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Skuad kebangsaan menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 12 mata. UAE mengungguli kumpulan dengan 18 mata, diikuti Vietnam (17), Thailand di tempat keempat dengan sembilan mata dan Indonesia dengan satu mata. - Bernama