X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 02 Disember 2021

Kemenangan ke atas Thailand suntik moral Harimau Malaya

Cheng Hoe (tengah) bersama barisan pemain dan pegawai Harimau Malaya sejurus kemenangan ke atas Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai pada awal pagi Rabu.
A
A

KEMENANGAN dilakar Harimau Malaya ke atas Thailand awal pagi Rabu diyakini mampu memberi suntikan moral kepada pemain untuk menampilkan aksi lebih cemerlang pada pusingan ketiga kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dijadual tahun depan.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyifatkan kejayaan menumpaskan Thailand amat bermakna bagi dirinya dan pasukan bagi mengubati kekecewaan dialami selepas tewas dalam kesemua empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Skuad kebangsaan sebelum ini dikritik hebat peminat selepas tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam 1-2 pada aksi Kumpulan G pusingan kedua kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai baru-baru ini selain tumpas dalam dua perlawanan pemanas badan iaitu 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 kepada Bahrain.

“Saya akui kekalahan empat kali berturut-turut telah menjejaskan moral pemain namun kemenangan ini sedikit sebanyak beri kelegaan kepada kami dan merupakan satu keputusan baik buat skuad kebangsaan,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemain perlu bekerja keras bagi memberi saingan menentang pasukan yang lebih hebat khususnya dari Timur Tengah dan Asia Timur pada pusingan seterusnya dalam memastikan impian layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dapat direalisasikan.

Jurulatih berusia 53 tahun itu pada masa sama mengingatkan anak buahnya untuk lebih bersedia menghadapi suasana pusingan ketiga kelayakan itu yang mungkin dijalankan dalam konsep gelembung sukan seperti diterapkan di Dubai, baru-baru ini.

Beliau pada masa sama berpuas hati dengan penampilan penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang menggantikan penjaga gol utama, Mohd Farizal Marlias serta pemain naturalisasi kebangsaan, Guilherme de Paula, selepas kedua-duanya memberi persembahan yang baik sepanjang perlawanan menentang Thailand.

“Bagi De Paula, bukan senang baginya untuk datang terus bermain dalam perlawanan antarabangsa tahap tinggi ini kerana beliau perlu menyesuaikan diri dengan situasi itu dan saya lihat beliau tunjuk perubahan besar dari segi keyakinan, pergerakan dan mendapatkan posisi bola, saya harap dia dapat perbaiki lagi nanti,” katanya.

Muhammad Safawi Rasid yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan muncul wira pasukan negara, selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 untuk menumpaskan Thailand 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal pagi tadi.

Kejayaan membenam Thailand itu membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, sekali gus menghidupkan peluang beraksi pada pusingan akhir kejuaraan benua itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!