Perancis merintis langkah positif

Pogba (dua dari kanan) memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan Perancis ke atas Jerman di Alliaz Arena pada awal pagi Rabu.
Pogba (dua dari kanan) memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan Perancis ke atas Jerman di Alliaz Arena pada awal pagi Rabu.
A
A
A

PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps memuji persembahan barisan pemainnya selepas berjaya menundukkan Jerman 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan F Euro 2020 di Allianz Arena pada awal pagi Rabu.

Menurut Deschamps, Les Bleus menampilkan persembahan bertenaga sepanjang perlawanan berlangsung sekalipun sekadar memperoleh gol kemenangan menerusi jaringan sendiri pertahanan Jerman, Mats Hummels.

“Kami bermain dalam satu perlawanan yang besar dan menentang lawan yang cukup bagus. Saya tahu para pemain saya akan bersedia dan mereka memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini.

“Kami tidak terlalu bergelut untuk bermain pada separuh masa kedua. Namun, ini adalah perlawanan yang sukar dengan bakat individu pemain yang dimiliki Jerman,” katanya.

Perancis berpeluang meraih kemenangan dengan jaringan lebih besar, namun gol menerusi dua penyerang - Kylian Mbappe dan Karim Benzema pada penghujung perlawanan dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Deschamps turut percaya Les Bleus memperoleh suntikan motivasi terbaik dengan kemenangan tersebut sebelum berdepan Hungary pada 19 Jun diikuti menentang penyandang juara, Portugal empat hari kemudian.

“Ia (menentang Jerman) adalah perlawanan pertama kami, namun ia boleh jadi separuh akhir atau perlawanan akhir. Berada dalam kumpulan ini dan meraih tiga mata adalah sangat penting.

“Ini mungkin tidak menentukan keputusan akhir nanti, namun dengan kualiti yang Jerman ada dan kami berjaya menewaskan mereka... kemenangan ini akan memberikan sesuatu yang bagus kepada kami,”ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, perancang Perancis, Paul Pogba menegaskan, Les Bleus perlu membiasakan diri dengan status pasukan pilihan untuk memenangi kempen Euro 2020 kali ini hasil kemenangan ke atas Jerman.

“Prestasi keseluruhan pasukan ini merupakan perkara paling penting. Semua orang bercakap mengenai status kami sebagai pasukan pilihan, jadi kami perlu menerima status ini dengan rendah diri,” katanya.