Kes Nora Anne: Mahkamah ganti perintah koroner dengan keputusan terbuka

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A
SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menggantikan keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian remaja perempuan Ireland-Perancis adalah akibat nahas atau peristiwa malang dengan keputusan terbuka.

Hakim Azizul Azmi Adnan yang membuat keputusan itu dalam prosiding secara dalam talian menerusi laman rasmi Badan Kehakiman Malaysia di YouTube berkata, peranan inkuiri bukanlah untuk menentukan keputusan mana yang mempunyai kemungkinan paling tinggi sebagai keputusan yang tepat.

“Bagaimanapun, selepas meneliti bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, saya berpendapat keputusan bahawa kematian mangsa adalah akibat nahas atau peristiwa malang sepatutnya dibatalkan demi kepentingan keadilan dan digantikan dengan keputusan terbuka,” katanya.

Keputusan terbuka dalam kes ini bermaksud cara atau punca kematian mangsa tidak dapat ditentukan.

Beliau berkata, kemungkinan bahawa terdapat penglibatan pihak ketiga adalah lebih rendah berbanding kemungkinan bahawa Nora Anne entah bagaimana telah menyebabkan dirinya berada dalam satu situasi di mana dia tidak dapat melepaskan diri.

Pada 4 Januari lepas, Koroner Maimoonah Aid memutuskan bahawa Nora Anne meninggal dunia akibat nahas atau peristiwa malang dan tiada penglibatan pihak ketiga dalam kematiannya.

Peguam Louis Azmi yang mewakili keluarga Nora Anne Quoirin berkata, anak guamnya gembira dengan keputusan itu.

Sejumlah 48 saksi termasuk ibu bapa mangsa iaitu Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin telah memberi keterangan dalam prosiding inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun lepas.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini.
Artikel Berkaitan:


Mayat remaja itu ditemukan 10 hari selepas itu berhampiran sebatang sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan tersebut susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan. - Bernama