'Ada pihak sengaja mahu penjarakan saya'

Azhar turut bersama dalam bantahan hari ini.
Azhar turut bersama dalam bantahan hari ini.
A
A
A

KUALA KETIL- Pengerusi Skuad Badar mendedahkan ada pihak cuba untuk penjarakannya, sekaligus menguburkan operasi Skuad Badar yang selama ini memperjuangkan syariat Islam dan mencegah kemungkaran.

Azhar Mohamad berkata, ada pihak cuba kaitkannya dengan kesalahan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 di mana jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama setahun hingga tujuh tahun.

"Mereka ada mengadakan satu perjumpaan di satu tempat, nama-nama itu saya tidak dapat dedahkan.

"Berdasarkan maklumat, mereka cuba untuk penjarakan saya. Di bawah OSA tempoh hukuman penjara ialah setahun hingga tujuh tahun,"katanya kepada Sinar Harian selepas demonstrasi aman bantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W di Masjid Madinatul Ilmi Kuala Ketil, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Operasi Skuad Badar dihentikan sementara

Tambahnya, Isnin ini beliau akan dikenakan beberapa pertuduhan di Mahkamah Seksyen Sungai Petani.

"Antara pertuduhan itu ialah saya masuk premis tanpa kebenaran, menakutkan orang dan cuba menghasut pihak-pihak tertentu," katanya.

Tegas Azhar, semua pertuduhan itu tidak benar sama sekali dan beliau tetap akan melawan kes berkenaan bagi menegakkan keadilan.

"Semua operasi kami berpandukan balai polis, jika polis tidak benarkan, kami tidak akan buat.

Artikel Berkaitan:

"Selama hampir tiga tahun (Skuad Badar beroperasi), saya ada 61 laporan polis. Di mana dalam setiap laporan itu, saya nyatakan akan masuk premis-premis dan tempat lapangan.

"Saya nyatakan premis rumah urut, motel, hotel..semuanya dinyatakan. Jika mereka tidak benarkan saya buat..saya hentilah. Jadi tuduhan Skuad Badar lakukan operasi tiada kebenaran, tiada kad ROS (Pendaftaran Pertubuhan) itu tidak wajar,"katanya.

Beliau berkata, hampir tiga tahun, kes sedang dihadapinya ini ialah kali pertama buat Skuad Badar.

"Di bawah pemerintahan kerajaan BN, Skuad Badar tidak pernah kena seperti ini," katanya.

Azhar berkata, ahli-ahli Skuad Badar juga ditakut-takutkan ugutan tertentu.

"Saya juga diminta untuk tidak aktif dalam aktiviti ceramah," katanya.

Azhar pada 13 Januari lalu ditahan pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Muda bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.

Skuad Badar yang aktif menjalankan aktiviti cegah maksiat di Kuala Muda banyak membantu menyedarkan umat Islam untuk kembali ke pangkal jalan.