KPDNHEP kesan kenaikan harga sayur

Azman turut menyertai pemantauan dan pemeriksaan harga sayuran di sekitar pasar awam dan pasar raya di Putrajaya.
Azman turut menyertai pemantauan dan pemeriksaan harga sayuran di sekitar pasar awam dan pasar raya di Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati berlaku kenaikan harga beberapa jenis sayur di seluruh negara.

Harga tomato mengalami peningkatan sehingga 8.33 peratus, sawi (2.91), kubis bulat tempatan (2.73), kailan (2.37), kangkung (2.29), brokoli (2.27) dan lada benggala (2.07).

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, harga tomato dan timun Jepun di sekitar Putrajaya mengalami kenaikan sehingga 30 peratus.

“Secara umum, situasi bekalan sayuran dilihat masih stabil di semua pasar-pasar awam dan pasar raya sekitar Putrajaya ini. “Walau bagaimanapun, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara akan menjalankan pemantauan ke atas harga sayur.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut,” ujar beliau.

Menurutnya, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan atau syarikat.

Bagi bukan perbadanan atau individu, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: