Sektor pertanian boleh beroperasi termasuk di kawasan PKPD

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju membenarkan sektor pertanian serta rantaiannya terus beroperasi sepanjang masa termasuk di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, ia selaras dengan keputusan kerajaan yang meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai satu perkhidmatan perlu yang dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sidang Mesyuarat Khas MKN: Pengurusan Covid-19 pada 14 Jun lepas juga telah bersetuju supaya sektor pertanian di seluruh negara termasuk kawasan PKDP dibenarkan untuk terus beroperasi dan keputusan tersebut turut merangkumi sektor florikultur dan bunga hiasan yang dibenarkan beroperasi seperti sektor pertanian lain, katanya.

"Diharapkan dengan keputusan kerajaan dalam hal ini dapat meredakan isu pergerakan bekalan sayur-sayuran selain turut melegakan para petani dan pemain industri sektor pertanian di kawasan yang terlibat dengan PKPD khususnya Cameron Highlands," kata Ronald dalam kenyataan pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan situasi peningkatan harga sayur-sayuran di pasaran sehingga 40 peratus ekoran pelaksanaan PKPD di kawasan pertanian seluas 607 hektar di Cameron Highlands berkuat kuasa 14 hingga 27 Jun ini.

Menurut Ronald, masalah di peringkat pemasaran dan penghantaran sayur ke pasar tergendala susulan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan Cameron Highlands termasuk Kampung Raja yang meliputi Kampung Sungai Ikan hingga Kampung Blue Valley yang merupakan kawasan pertanian berkeluasan 607 hektar.

Katanya pelaksanaan PKPD di Kampung Raja itu telah menyebabkan pengusaha sayur yang menetap di kawasan tersebut tidak dapat melakukan aktiviti di setiap rantaian aktiviti pertanian meliputi kawasan Lojing dan juga kawasan sekitar Kampung Raja, Kampung Blue Valley dan Kampung Sungai Ikan.

“Ini menyebabkan hasil pertanian sebanyak 500 metrik tan tidak dapat diedar keluar ke pasaran memandangkan pekerja yang berada di kawasan tersebut tidak boleh bergerak keluar ke ladang-ladang dan lori-lori yang mengangkut hasil pertanian turut tidak dapat keluar dari kawasan PKPD," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan 500 petani sayur dan 80 petani bunga menjalankan aktiviti pertanian di kawasan tersebut yang menghasilkan 560 metrik tan produk setiap hari iaitu sebanyak 180 metrik tan dari Kampung Raja, Kampung Blue Valley dan 380 metrik tan dari Lojing, katanya.

Ronald berkata, keputusan membenarkan sektor pertanian beroperasi telah dimaklumkan kepada pihak penguat kuasa lain supaya membenarkan pergerakan keluar masuk lori yang mengangkut hasil pertanian termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dari kawasan PKPD bagi membolehkan penghantaran dari ladang-ladang dapat diteruskan dari Cameron Highlands.

“Ini adalah penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terganggu dalam apa jua keadaan,” katanya yang menegaskan kementeriannya akan memastikan semua rangkaian dan rantaian dalam aktiviti sektor pertanian dan industri makanan tidak terjejas sepanjang pelaksanaan PKP dan PKPD.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui jabatan dan agensi di bawahnya sehingga semalam telah mengeluarkan sebanyak 1,456 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan di Cameron Highlands.

Ronald berkata sektor pertanian juga akan terus dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara selaras dengan persiapan untuk negara keluar daripada pandemik Covid-19.

"MAFI akan meneruskan usaha untuk memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi dalam apa jua keadaan, terutamanya di kala negara masih mengharungi penularan pandemik Covid-19," katanya. - Bernama