Tempoh Pelan Pemulihan Negara realistik

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Garis masa yang dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara disifatkan sebagai tempoh yang realistik kerana bukannya dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sebaliknya mengambil kira situasi pandemik yang dinamik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, meskipun ia baru diumumkan pada Selasa, pelan berkenaan tidak lari daripada perancangan yang telah dimulakan sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara.

Menurutnya, perkara pokok yang dititikberatkan masih sama iaitu untuk seimbangkan antara kesihatan dan kelangsungan hidup.

“Orang kata kita buat ni macam tak ada perancangan yang baik. Namun ramai yang tidak tahu bahawa jika tidak buat Sekatan Pergerakan Penuh Fasa 1 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kes baharu Covid-19 pada 5 Jun lepas boleh mencecah 13,000 kes dan hari ini, 16 Jun boleh mencapai angka 15,000 kes.

“Saya tak mahu mendakwa kerajaan sangat berjaya tetapi saya mahu kongsi bahawa kalau kita tak buat Sekatan Pergerakan Penuh Fasa 1, itulah angka yang kita kena hadapi,” katanya ketika sidang media secara maya pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa dengan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Muhyiddin berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya iaitu bilangan kes jangkitan, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapid dan jumlah penerima vaksin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 771 lagi petugas media akan menerima vaksin Covid-19 di PPV World Trade Centre (WTC) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 1,500 petugas media di seluruh negara juga akan menerima dos pertama vaksin dalam minggu ini,” katanya.