Dua jaguh pecut negara 'sangkut' di KLIA

Haiqal (tengah) dan Khairul Hafiz (kiri) beraksi pada Kejohanaan Kesatuan Olahraga Malaysia 2019 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - Foto Bernama
Haiqal (tengah) dan Khairul Hafiz (kiri) beraksi pada Kejohanaan Kesatuan Olahraga Malaysia 2019 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT dua jaguh pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad haiqal Hanafi untuk menyertai Kejohanan Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan pertengahan bulan ini, tidak kesampaian selepas ‘disekat’ untuk berlepas ke sana dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Selasa.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S M Muthu memberitahu, kedua-dua atlet berkenaan tidak dibenarkan berlepas ke negara tersebut selepas Haiqal disahkan positif Covid-19 setibanya di KLIA.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan Khairul Hafiz turut terlepas peluang ke Kazakhstan untuk menyertai kejohanan berkenaan dari 19 hingga 20 Jun ini, selepas menjadi kontak rapat kepada Haiqal walaupun keputusan ujian calitannya negatif virus berkenaan.

Muthu berkata, beliau kecewa dengan kecuaian Haiqal apabila didakwa terlupa menyemak keputusan ujian calitan dilakukannya di Shah Alam, Selangor pada pagi Isnin, yang dihantar menerusi e-mel sehingga menyaksikannya terpaksa melupakan hasrat beraksi di Kazakhstan bersama Khairul Hafiz.

"Hanya Haiqal disahkan positif manakala Khairul Hafiz pula merupakan kontak rapat memandangkan kedua-dua mereka menjalani latihan di Johor. Kedua-dua mereka ketika ini sedang menjalani kuarantin di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haiqal dan Khairul Hafiz merupakan atlet olahraga yang mengikuti sesi latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor sejak pertengahan Ramadan lepas di bawah bimbingan jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim.

Pada kejohanan di Kazakhstan itu nanti, Haiqal dijangka beraksi dalam acara 100 meter (m) manakala Khairul Hafiz pula bersaing untuk 200m.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan hanya lapan atlet yang akan mewakili negara pada kejohanan tersebut iaitu Lee Hup Wei (lompat tinggi), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Connie Chu (lempar cakera), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Jonathan Nyepa (100m) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar) dan Muhammad Ilham Suhaimi (400m).

Artikel Berkaitan:

Muthu berkata, kesemua atlet itu tidak menunjukkan sebarang simptom dan dibenarkan berlepas ke Kazakhstan pada awal pagi Selasa walaupun mereka menaiki bas yang sama dengan Muhammad Haikal dan Khairul Hafiz.

"Mereka dijangka tiba di Kazakhstan malam ini dan mereka dikehendaki melakukan ujian calitan sekali lagi setibanya di sana,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil memaklumkan buat masa ini, Haiqal dan Khairul Hafiz berada dalam keadaan baik walaupun ditimpa musibah yang tidak diduga itu dan berharap mereka berdua tabah serta mampu bangkit pada kejohanan akan datang.

Mohd Manshahar pada masa sama, berharap agar atlet lain dapat menggunakan peluang keemasan itu untuk menampilkan aksi terbaik di Kazakhstan walaupun sudah lebih setahun tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selepas kali terakhir melakukannya pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina. - Bernama