X

Kindly register in order to view this article
!

Pelantikan Suhaili lima jawatan dalam Mara atas kapasiti beliau

Datuk Suhaili Abdul Rahman
A
A

KOTA KINABALU - Pelantikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Suhaili Abdul Rahman menyandang lima jawatan dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengarah Eksekutif Mara Corp dan sebagai ahli pengurusan syarikat Mara Corp.

Ahli Bersatu Membakut, Awang Hazim Awang Basir berkata, pelantikan itu bukan suatu yang luar biasa serta pelanggaran integriti.

Menurut beliau, menjadi kelaziman untuk mana-mana pengarah eksekutif sebuah syarikat induk dilantik sebagai salah seorang pengarah dalam anak syarikatnya seperti mana berlaku di syarikat lain.

"Walaupun Suhaili merupakan ahli politik selaku MPT Bersatu, kewibawaannya itu diyakini dapat memberikan nilai tambah kepada pengurusan subsidiari tersebut.

"Ini apabila pelantikan yang dibuat bukan sahaja atas dasar ekonomi, malah turut mengambil kira faktor sosial apabila sebahagian besar aktiviti komersial syarikat berkait rapat dengan polisi kerajaan seperti pendidikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mendakwa Suhaili dilantik memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam kelima-lima syarikat berkaitan Mara.

Awang Hazim mempersoalkan, adakah menjadi satu kesalahan kepada Suhaili yang dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat Mara Corp.

"Akmal Nasrullah cuba berlagak hero dengan membangkitkan isu pelantikan berkenaan seolah-olah menekap mata dan telinga enggan mendapatkan maklumat sebenar.

"Isu elaun diterima Suhaili hanya membangkitkan dakwaan tanpa mengemukakan bukti dan ia sekadar tuduhan semata-mata.

"Untuk pengetahuan umum, Suhaili tidak menerima elaun bulanan seperti yang diterima oleh ahli lembaga pengarah yang lain seperti yang disyaratkan oleh Kementerian Kewangan dalam perkara itu," katanya.

Awang Hazim berkata, Akmal Nasrullah sepatutnya menerima hakikat pelantikan Suhaili dipersetujui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Majlis Mara.

"Paling penting Suhaili melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus menjadikan isu integriti dan ketelusan bukan persoalan dalam pelantikannya mengisi jawatan berkenaan.

"Tindak tanduk segelintir individu seperti Akmal Nasrullah yang suka membuat andaian, malah cuba berlagak hero bersandarkan sumber tidak sahih bukan sahaja memberi gambaran negatif terhadap institusi bumiputera, tetapi lebih teruk lagi menjejaskan imej Mara," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!