Yadim bantah usaha Suhakam buat kajian berkaitan LGBT

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah keras usaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat kajian mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, kajian itu jelas mendorong ke arah kehidupan yang menyalahi syariat Islam dan bertentangan dengan norma budaya hidup rakyat di negara ini.

Menurut Nasrudin, dia yakin usaha tersebut akan membuka ruang dan peluang kepada lebih banyak aktiviti LGBT di negara ini yang membawa kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga.

"Cara hidup yang bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia ini adalah sangat bertentangan dengan pegangan semua agama yang dianuti oleh rakyat di negara ini.

"Justeru sebarang bentuk usaha untuk mengiktirafnya hanya akan menatijahkan kepada runtuhnya kerukunan sistem sosial di Malaysia selain menambah kepada kebobrokan nilai dan akhlak.

"Yadim menyeru agar Suhakam lebih prihatin dengan suasana semasa dan berpendapat lebih banyak isu lain yang suruhanjaya ini boleh ketengahkan pada ketika ini untuk diperjuangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Suhakam dalam hantaran di Facebooknya pada 14 Jun 2021, sedang mencari penyelidik untuk melakukan kajian bertajuk 'Feasibility Of Having Legislation On The Recognition Of A Third Gender In Malay'.

Menurut Nasruddin, sebagai entiti yang diwujudkan dan didana oleh kerajaan, Suhakam sewajarnya sensitif terhadap pendirian kerajaan Malaysia yang jelas tidak menyokong budaya hidup songsang sepertimana yang dizahirkan dalam kenyataan bersama-sama 57 buah negara lain dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008.

Artikel Berkaitan:

Jelas Nasrudin, adalah lebih baik Suhakam turut sama dalam usaha membantu negara yang kini sedang bergelut menangani Covid-19 serta menyediakan pelan pemulihan pasca pandemik berbanding menjalankan kajian yang langsung tidak berfaedah kepada negara.

"Suhakam juga perlu menyedari bahawa usaha ini mempunyai implikasi kepada perundangan Islam di negara ini yang terletak di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 juga telah memutuskan bahawa, seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan.

"Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak,” katanya.

Tegas Nasrudin, pihaknya komited untuk terus memperjuangkan dan menyampaikan dakwah serta penerangan tentang betapa pentingnya institusi keluarga menurut acuan Islam di negara ini terus dipertahankan dan menentang sebarang anasir yang cuba untuk meruntuhkannya.