X

Kindly register in order to view this article
!

Prosiding komital: Nasib Lokman Adam diketahui pada 15 Julai

Datuk Lokman Noor Adam
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 15 Julai untuk memutuskan sama ada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersalah atas dakwaan menghina mahkamah kerana mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika dihubungi berkata, tarikh baharu itu ditetapkan selepas mahkamah melapangkan tarikh asal keputusan iaitu pada Selasa susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh ketika ini.

"Pihak-pihak telah dimaklumkan melalui e-mel," katanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah akan memberikan keputusan itu.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah telah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah telah menolak permohonan Lokman untuk mengenepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum mengambil keputusan meletak jawatan pada 29 Februari 2020, telah memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah agar responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata, pada hari sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan tersebut.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!