FAMA sumbang zakat kepada petugas

A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri yang mempunyai dua anak menghidap penyakit kulit rapuh atau 'Epidermolysis Bullosa' hari ini menarik nafas lega apabila menerima bantuan wang zakat dan pelbagai kelengkapan perubatan harian daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bantuan wang zakat sebanyak RM1,000 dan kelengkapan perubatan bernilai RM2,000 itu disampaikan Pengerusi FAMA Ishak Ismail yang mengunjungi keluarga itu di kediaman mereka di Jerantut, Pahang.

Ishak berkata sumbangan di bawah program tanggungjawab sosial (CSR) Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) itu diharap dapat meringankan beban Nik Mohd Kamarul Zaman Rodin yang bekerja sebagai pemandu kenderaan FAMA dan pasangannya Nik Melissa Mahadi, seorang suri rumah.

"FAMA akan terus memantau dan membantu keluarga ini dari semasa ke semasa. Program ini bertujuan memastikan kebajikan, pendidikan dan bantuan kemanusiaan itu dapat disalur kepada pihak yang memerlukan," katanya.

Selain sumbangan wang zakat dan kelengkapan keperluan perubatan harian, FAMA turut menyampaikan hamper barangan Agromas bernilai RM200 kepada pasangan yang mempunyai empat orang anak itu.

Sementara itu Nik Melissa menzahirkan rasa syukur kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib kedua-dua anaknya.

"Saya ucap terima kasih pada warga FAMA kerana sanggup datang ke rumah kami untuk melihat anak-anak saya yang sakit.

"Kami hargai sumbangan yang dihulur dan segala bantuan yang diterima akan diguna untuk menanggung kos perubatan serta rawatan anak-anak," katanya.

FAMA merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta produk-produk industri asas tani. - Bernama