PPV masjid pertama mulakan operasi Sabtu ini

Alias Razak
Alias Razak
A
A
A

KUALA NERUS – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masjid pertama di Terengganu akan mula beroperasi pada 19 Jun ini di Masjid Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, dianggarkan seramai 250 orang menerima suntikan vaksin Covid-19 di masjid itu nanti.

“Ini merupakan pilot projek bagi PPV masjid yang kita mahu wujudkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, di sini pada Rabu.

Menurut Dr Alias, Terengganu juga akan mengubahsuai dua buah lori untuk dijadikan unit PPV bergerak (mobile unit) sebagai usaha meningkatkan kemampuan pemberian vaksin kepada rakyat di Terengganu.

Beliau berkata, pelaksanaan PPV bergerak itu hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“PPV 'mobile' kita sudah mula secara kecil-kecilan, sekarang kita menunggu dua buah lori untuk diubah jadi PPV. Kerajaan negeri akan sediakan kemudahan infratruktur manakala UniSZA sumbang tenaga kerja,” katanya.

Sementara itu, Dr Alias berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap suntikan vaksin Covid-19 juga semakin meningkat dengan lebih 70 peratus hadir janji temu di PPV ditetapkan berbanding 60 peratus sebelum ini.

Katanya, dengan perkembangan positif itu Terengganu dijangka dapat mencapai 80 peratus imuniti berkelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK) menjelang November depan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi fasa dua dan tiga ini, jumlah penduduk yang akan disuntik vaksin seramai 841,800 orang dengan kemampuan suntikan 205,800 orang sebulan kita jangka dalam tempoh empat bulan kita capai sasaran,” katanya.