X

Kindly register in order to view this article
!

Jualan 'online' atasi masalah lambakan durian

Mohamad Mustahapa meninjau Pusat Pemprosesan Durian FAMA di Pejabat FAMA Batu Kurau, Larut pada Isnin.
A
A

BATU KURAU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menggunakan platform jualan dalam talian iaitu Shopee untuk memastikan tiada lambakan durian pada musim yang sedang bermula khususnya di Perak.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang berkata, penganjuran jualan dalam talian e-Durian Festival di e-FAMA Place di platform Shopee akan bermula pada 20 hingga 30 Jun ini bagi durian di Pulau Pinang.

Menurutnya, dari 14 Julai hingga 1 Ogos pula, jualan di platform sama bagi durian di negeri Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

"Ini merupakan salah satu usaha dilakukan FAMA dalam membantu mengatur pasaran durian di negara ini bagi mengelak berlaku lambakan buah-buahan berkenaan sepanjang musim yang sedang berlangsung ketika ini.

"Dalam masa sama, FAMA juga bekerjasama dengan kilang-kilang memproses durian ini. Daripada maklumat diperoleh, kilang memproses memerlukan bekalan. Buat masa ini masih belum lagi mencukupi untuk diproses," katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan di Pejabat FAMA Batu Kurau di sini pada Isnin.

Mohamad Mustahapa berkata, berikutan Sekatan Pergerakan Penuh masih berkuatkuasa ketika ini, FAMA juga mewujudkan 43 Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara yang boleh digunakan untuk pemasaran durian.

Selain itu, katanya, FAMA juga sedia memberi latihan kepada petani untuk memasarkan durian mereka secara langsung menerusi Facebook Shop, Facebook Market Place, YouTube, WhatApp dan TikTok.

Menurutnya, pengusaha dan pekebun yang ingin mempelajarinya boleh berhubung dengan FAMA berhampiran supaya mereka dapat memanfaat kemudahan teknologi semasa.

"Jadi, saya tidak nampak isu pemasaran durian ini akan memuncak sangat kerana kita ada outlet peruncitan FAMA. Kita juga ada kerjasama dengan kilang untuk memproses durian dari pekebun dan pengusaha. FAMA sendiri da kilang memproses dan kita galakkan usahawan memasarkan secara terus.

"Sekiranya pekebun berdepan masalah memasarkan durian, mereka boleh menghubungi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di FAMA negeri atau di pejabat FAMA berdekatan untuk mendaftar bagi mendapatkan khidmat bantuan dari segi mengatur pasaran dengan sama ada dengan usahawan bimbingan yang lain dan kilang-kilang memproses durian," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pekebun durian untuk mempertingkatkan usaha penggredan, pembungkusan dan pelabelan produk buah-buahan berkenaan supaya boleh dijual pada harga lebih baik.

Dengan cara itu, pekebun dapat menjual durian di pasaran pada harga berdasarkan kualiti produk mereka berbanding menjual secara borong.

"Nasihat saya, berhubunglah dengan FAMA untuk mendapatkan kefahaman mengenai pemasaran. Sebaik-baiknya pengusaha mengambil inisiatif untuk menggred, membungkus dan melabel durian masing-masing supaya harga dapat ditingkatkan lagi.

"Kalau kita jual secara lambak, pengguna akan membeli tanpa mengikut gred dan kualiti buah, sekali gus menyebabkan harga menjadi rendah," katanya.

Difahamkan, pengeluaran durian di Perak pada tahun ini dianggarkan sebanyak 18,645.6 tan metrik.

Daerah yang akan mengalami pengeluaran durian yang tinggi di Perak ialah Larut Matang dan Selama sebanyak 7,466 tan metrik, diikuti Kuala Kangsar (3,115 tan metrik) dan Batang Padang (2,223 tan metrik).

Durian dijangka akan gugur bermula pertengahan Jun dan berakhir pada Oktober secara berperingkat, malah anggaran pengeluaran pada tahun ini sedikit meningkat kerana cuaca yang baik berbanding tahun lepas.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!