X

Kindly register in order to view this article
!

TNB fokus empat aspek bantu kerajaan tangani Covid-19

Keutamaan TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara termasuk memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap kepada hospital, PSV dan PPV serta lebih daripada sembilan juta pelanggan di seluruh negara. Gambar kecil: Baharin Din
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited untuk membantu kerajaan dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan akan berterusan memberi sokongan bagi strategi peralihan keluar yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, keutamaan TNB terhadap pelan itu berfokus kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

Menurut beliau, ia menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan wabak Covid-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan program vaksinasi negara.

“Sebagai syarikat utiliti elektrik negara, kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil.

“Ia tidak menjejaskan komitmen kami untuk menyediakan bekalan yang kukuh dan stabil kepada sembilan juta pelanggan kami. Pasukan operasi kami kekal terus menjalankan tugas setiap hari meskipun berdepan risiko,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, langkah-langkah perlu juga diambil bagi memastikan imuniti kelompok dicapai dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premis-premis sebagai PPV bagi mempercepatkan kadar pemvaksinan negara.

Jelasnya, usaha itu merupakan inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi kedai tenaga dan mengalih transaksi serta pertanyaan dari kaunter ke platform digital.

Tambah Baharin, TNB terus mengimbangi untuk menambah baik rangkaian bekalan elektrik dengan pemberian bantuan kepada golongan dari sektor ekonomi yang terkesan dan membantu rakyat khususnya golongan B40.

Baharin menjelaskan, bantuan akan diperluaskan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela.

“Sejak Januari lepas, TNB telah secara terus memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini, dan akan berterusan menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan di mana ia beroperasi di seluruh negara.

“Pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir tujuh juta pelanggan domestik telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini.

“Selain itu, diskaun 10 peratus yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 pelanggan dari enam sektor terpilih di bawah pakej Pemerkasa (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi) telah dilanjutkan sehingga akhir September,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kawal selia 2018-2020, TNB telah melabur lebih RM7 bilion dalam program pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana.

Tambahnya, inisiatif latihan kemahiran semula yang diterajui pusat latihan TNB, ILSAS, bertujuan memberi latihan kepada lebih 17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.

“Inisiatif-inisiatif berwawasan ini dilakukan bagi memastikan TNB dapat berterusan meletakkan negara dan rakyat dalam kedudukan yang baik dalam usaha untuk mempercepatkan usaha pemulihan.

“Bagi TNB, peranan kami untuk menyokong pertumbuhan ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang sehingga 2024 akan bertumpu kepada memastikan sistem rangkaian bekalan yang kukuh dan selamat, memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan berubah, serta menyokong proses peralihan tenaga negara, dengan cadangan nilai pelaburan berjumlah RM24 bilion,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!