Gementar bawa nama Terengganu

Muhammad Shohaimi Haffiz bersama piala dan hadiah dimenangi selepas menjuarai Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 peringkat negeri Terengganu.
Muhammad Shohaimi Haffiz bersama piala dan hadiah dimenangi selepas menjuarai Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 peringkat negeri Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh, 27, tetap gementar membawa nama Terengganu dalam Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 Peringkat Kebangsaan walaupun sudah beberapa kali mewakili negeri.

Menurut Muhammad Shohaimi Haffiz, dengan pengalaman dan kemahiran dalam bidang pidato, beliau berharap dapat bergelar juara dan mengharumkan nama Terengganu dalam pertandingan yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah persediaan saya pada pertandingan pidato tahun ini telah siap 99 peratus dan saya mengharapkan doa daripada semua supaya dapat menjulang nama Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Shohaimil Haffiz akan mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan selepas menjuarai Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 peringkat negeri yang diadakan baru-baru ini.

Beliau yang mewakili daerah Marang dan membawa tajuk pidato Kenegaraan, Dasar Perpaduan Negara (DPN), Membangun Identiti Nasional menewaskan sebelas peserta lain.

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 plak, sijil dan piala pusingan.

Tempat kedua dimenangi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Nurul Fatin Aqilah Rahim, 24, yang mewakili Besut manakala tempat ketiga disandang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Setiu, Suhana Hussin, 33.

Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Terengganu 2021 yang dianjurkan Jabatan Penerangan (Japen) negeri Terengganu disertai 12 orang peserta mewakili setiap daerah.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan tahun ini dilaksanakan secara hybrid iaitu melalui penghantaran video oleh para peserta selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Pengarah Japen Terengganu, Ahmad Ammar Othman berkata, pertandingan itu bertujuan mengekspresikan jalinan persefahaman dan sokongan di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan kemakmuran serta kemajuan Malaysia dipertingkatkan sekaligus mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

“Pada masa sama, pertandingan yang bertemakan ”Kita Malaysia Bangkit Bersama” ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman tentang dasar-dasar negara di kalangan masyarakat,” katanya.