Suami pukul isteri hamil hingga koma didakwa esok

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suami yang disyaki memukul isterinya yang hamil hingga parah dan koma akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kebenaran bagi pertuduhan ke atas suspek berusia 38 tahun itu telah diperoleh daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

"Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada 12 Jun, suspek yang merupakan peniaga ditahan semasa keluar membeli makanan dengan menunggang motosikal di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi.

Sebelum itu polis mengedarkan gambar suspek sebagai usaha menjejakinya.

Sinar Harian pada 12 Mei melaporkan seorang wanita hamil parah dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Wanita itu yang merupakan seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di Johor dilaporkan berada di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan tengkorak selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Artikel Berkaitan:

Kejadian yang menimpa wanita itu menjadi tular selepas adik mangsa, Fazariah Nordin memuat naik keadaan kakaknya di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil koma dipukul suami

Suami pukul isteri hamil sehingga koma ditahan