'Pelan' tanpa pelan sebenar: Majlis Presiden PH

Anwar Ibrahim , Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng
Anwar Ibrahim , Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman Pelan Pemulihan Negara disifatkan tergesa-gesa kerana cuba mengalih pandangan rakyat daripada keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing dan gagal dalam mengawal pandemik Covid-19 dengan baik.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempersembahkan satu ‘pelan’ tanpa apa-apa pelan yang sebenar.

“Kami meneliti pelan yang dibentang Muhyiddin petang semalam. Walau bagaimanapun, kami sangat terkejut apabila mendapati bahawa ia hanyalah siri fasa tanpa strategi yang lengkap mahupun langkah-langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik Covid-19.

“Ia seharusnya memberi bantuan secukupnya kepada rakyat serta syarikat-syarikat yang sedang menderita, memulihkan ekonomi, dan menyegerakan kebangkitan semula Malaysia,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat tiga pemimpin utama parti dalam PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada Selasa, kerajaan mewujudkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19.

“Malah lebih mengejutkan ialah siri fasa pelan tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Jika diikut juga pelan ini, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa sekiranya pandemik Covid-19 tidak dapat dikawal adalah rakyat,” jelas kenyataan itu.