Negeri Sembilan buka PPV mega di USIM

Universiti Sains Islam Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega akan dibuka di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai bagi mempercepatkan proses vaksinasi dan imuniti kelompok di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PPV Mega itu boleh memuatkan kapasiti untuk menyuntik 3,000 dos vaksin sehari.

Menurut beliau, satu lawatan dan perbincangan dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Persekutuan yang diurus bersama USIM telah diadakan pada 14 Jun lalu.

"Segala usaha kerajaan negeri ini melalui tindakan yang diambil oleh CITF negeri dan pusat, kita menjangkakan dapat menaikkan vaksinasi harian daripada 13,184 orang sehari kepada lebih kurang 19,000 sehari.

"Ini bermakna dalam tempoh sebulan, jika dilaksanakan vaksinasi selama 25 hari, vaksinasi boleh diberikan kepada 480,900 orang sebulan," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Walau bagaimanapun Aminuddin berkata, segala usaha yang dibuat dalam usah menambah bilangan vaksinasi adalah bergantung kepada kemasukan vaksin ke negara ini.

Katanya, sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 540,345 penduduk Negeri Sembilan telah mendaftar untuk menerima vaksin iaitu 66 peratus daripada sasaran.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 117,341 orang telah menerima dos pertama dan 67,127 telah menerima dos kedua vaksinasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah menulis surat kepada CITF Persekutuan pada 21 Mei lalu agar membenarkan kerajaan negeri melalui NS Invest dengan kerjasama sebuah syarikat swasta membuat perolehan terus vaksin bagi membekalkan vaksin kepada sektor pembuatan, perkilangan serta industri kecil dan sederhana (IKS) di Negeri Sembilan.

Katanya, vaksin yang dibeli oleh syarikat swasta ini akan ditawarkan pembeliannya kepada pihak industri secara sukarela untuk tujuan vaksinasi pekerja masing-masing.