Tindakan pantas kekang aplikasi ada unsur eksploitasi kanak-kanak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan merancang untuk melaksanakan tindakan pencegahan pantas melalui platform dalam talian bagi mengekang sebarang aplikasi mahupun permainan dalam talian atau laman web yang mempunyai unsur eksploitasi serta jenayah terhadap kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial yang dipengerusikannya pada Selasa bagi merangka inisiatif dan tindakan membendung isu pengantunan kanak-kanak dan kandungan lucah melalui media sosial.

Beliau berkata, turut diputuskan ialah untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran kanak-kanak dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Polis Diraja Malaysia dan agensi lain dengan menghasilkan video kesedaran pencegahan jenayah terhadap kanak-kanak bagi tayangan umum serta melaksanakan kempen atau penerangan yang lebih jelas.

"Perlunya akta perundangan dengan hukuman lebih berat bagi kesalahan-kesalahan eksploitasi kanak-kanak terutama kepada pesalah-pesalah yang merupakan tokoh masyarakat yang berpengaruh," katanya dalam kenyataan pada Rabu mengenai mesyuarat itu.

Baru-baru ini, seorang pengasas produk kosmetik bersama rakannya ditahan reman berhubung dakwaan pengantunan kanak-kanak dan kandungan lucah melibatkan dua kanak-kanak lelaki berumur 14 dan 15 tahun melalui Instagram live.

Kanak-kanak itu juga dikatakan telah diajar mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape serta bahan terlarang lain.

Kes itu sedang dalam tindakan siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbuatan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak dan amang seksual bukan fizikal adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 11, 12 dan 15, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM20,000 dan juga boleh dikenakan hukuman sebat.

Sementara itu, Rina menyeru masyarakat supaya tidak menularkan video kanak-kanak berkenaan demi menjaga identiti kanak-kanak yang terlibat dan mengelakkan mereka menjadi mangsa buli siber.

Beliau berkata, tinjauan pendapat Bulan Keluarga Kebangsaan yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara mendapati tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak-anak menurun daripada 62.5 peratus pada tahun 2018 kepada 53.3 peratus pada tahun 2020.

"Ibu bapa diseru memainkan peranan penting memastikan pengawasan dan kawalan terhadap kanak-kanak terutamanya terhadap penggunaan gajet iaitu melalui ‘parenting tools’ atau aplikasi berkaitan keibubapaan dalam talian sedia ada yang boleh dipercayai dan dimuat turun menerusi Google Play dan Apple Store," katanya.

Rina juga meminta masyarakat untuk segera membuat laporan kepada pihak PDRM ataupun Talian Kasih 15999 apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes eksploitasi kanak-kanak melalui media sosial. - Bernama