252 gelandangan terima suntikan vaksin

Seramai 252 gelandangan di Kuala Lumpur akan divaksin menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah.
Seramai 252 gelandangan di Kuala Lumpur akan divaksin menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 252 orang gelandangan di Kuala Lumpur bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah Fasa Kedua.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, daripada jumlah itu, seramai 119 orang gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa dijadualkan melengkapkan suntikan vaksin dos kedua pada Khamis menerusi inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, baki 133 orang gelandangan lagi telah selesai menjalani ujian saringan Covid-19 dan akan divaksin dos pertama pada Selasa depan.

"Inisiatif oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 di Wilayah Persekutuan secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah merupakan antara tujuh kandungan Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 bagi memberi kemudahan dan mengurangkan beban warga Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya B40 dan miskin bandar.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kumpulan gelandangan diberikan vaksinasi awal memandangkan mereka sering terdedah kepada ancaman jangkitan wabak Covid-19.

"Jika dibiarkan berkeliaran tanpa perlindungan, risiko penyebaran wabak adalah tinggi," katanya.

Tambah Annuar, KWP juga akan memperluaskan penggunaan Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah ke lokasi-lokasi lain di Wilayah Persekutuan yang sukar diakses selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini adalah bagi memudahkan penduduk di lokaliti tersebut menerima vaksin selain menurunkan kadar risiko kebolehjangkitan wabak secara berperingkat.

"Adalah menjadi matlamat utama kerajaan dalam mencapai sasaran 80 peratus populasi warga Wilayah Persekutuan divaksin menjelang Ogos 2021 bagi mencapai imuniti kelompok," katanya.