Perak tambah peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menambah peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebelum ini kepada RM25.7 juta melibatkan sebanyak 44 inisiatif dan bantuan untuk rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan keluh kesah rakyat, kerajaan negeri bersetuju meluaskan pelaksanaan PRE Perak Sejahtera 2021 kepada lebih ramai golongan yang terjejas.

Menurutnya, antara inisiatif baharu dilaksanakan termasuk program Go Cashless and E-Commerce Usahawan Perak 2021 (GLeMMER 2021) bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai oleh penjaja, peniaga dan usahawan yang beroperasi ketika pelaksanaan PKP.

"Melalui program ini, kerajaan negeri akan memberi baucar subsidi bagi pembelian dan penghantaran bernilai RM2 hingga RM5 yang akan memberi manfaat kepada 80,000 peniaga, penjaja dan usahawan.

"Program ini mendapat kerjasama daripada sembilan syarikat platform dalam talian dan penghantaran iaitu Shopee, Lazada, Grab, Foodpanda, Warongku, Halo Je, J&T, Touch n Go dan Boost," katanya kepada pemberita menerusi sidang akhbar secara maya, di sini pada Rabu.

Menurutnya, selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman mikro kredit usahawan di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Yayasan Perak selama sebulan bermula Jun 2021.

Kata Saarani, kemudahan itu akan memanfaatkan seramai 743 usahawan dan melibatkan tunggakan bayaran sebanyak RM244,450.

Beliau berkata, pinjaman Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) turut diberikan moratorium dengan diperluaskan kepada semua peminjam iaitu seramai 769 berbanding 443 peminjam yang diumumkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Insentif bagi penggiat pelancongan yang diumumkan sebelum ini akan diperluaskan melalui pemberian one-off kepada pengusaha hotel bajet Perak yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet Malaysia Negeri Perak (MyBHA Perak) serta pengusaha hotel dan resort Pulau Pangkor.

"Kerajaan negeri akan terus mendapatkan input dan memantau situasi di lapangan terutama di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan nasib rakyat yang terjejas sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.

"Seramai 45 pengusaha hotel di bawah MyBHA akan menerima RM2,000 dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM90,000 manakala 38 pengusaha di Pulau Pangkor juga turut menerima jumlah yang sama dengan keseluruhan RM76,000," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mendapatkan input dan memantau situasi di lapangan terutamanya di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan nasib rakyat yang terjejas sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.

Pada 2 Jun lalu, Saarani mengumumkan PRE Perak Sejahtera 2021 bernilai RM19.5 juta bagi menghadapi impak pandemik Covid-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak, Exco sumbang gaji Tabung Covid-19