X

Kindly register in order to view this article
!

'Belum ada keputusan darurat sambung atau tamat'

Fari kiri: Dzulkefly, Saifuddin Nasution, Loke Siew Fook
A
A

SHAH ALAM – Jawatankuasa Khas Bebas Darurat belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu didedahkan oleh tiga orang ahli Parlimen pembangkang yang juga ahli dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook.

Tiga ahli Parlimen itu berkata, mereka berpendirian tidak ada keperluan darurat dilaksanakan sebaliknya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat adalah kaedah terbaik.

“Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisme semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Rabu.

Jawatankuasa itu ditubuhkan Februari lalu dan ditugaskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai situasi Covid-19 serta bila darurat patut ditamatkan.

Dalam pada itu, ketiga-tiga ahli Parlimen itu berkata, mereka juga telah menyampaikan pandangan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

“Pandangan-pandangan ini menyentuh pelbagai perkara perihal pandemik Covid-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat.

“Kami juga menyampaikan pendirian bahawa pendekatan campur tangan kerajaan dalam bentuk PKP dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!